Sabtu, 25 Julai 2009

Pejabat Agama Kulim Aktif Banteras Maksiat


KULIM - Pejabat Agama Islam Daerah Kulim (PADK) bertindak agresif dalam membendung kegiatan maksiat daripada terus menular.

Penolong Pegawai Agama Islam Daerah Kulim merangkap Ketua Unit Penguatkuasa Undang-undang Syariah, Roslan Mat berkata, mereka kerap mengadakan operasi bagi membanteras kegiatan maksiat dan aktiviti tidak bermoral dari terus berleluasa.

Menurutnya, PADK tidak akan memberi ruang kepada mana-mana pengusaha pusat hiburan atau hotel di sekitar daerah Kulim untuk menjadi tali barut dalam kegiatan tidak sihat.

“PADK akan sentiasa turun padang dan memastikan tidak ada sebarang aktiviti berunsur maksiat dijalankan.

"Selain itu pegawai penguat kuasa bertugas akan terus memantau tempat mencurigakan.

“Kami akan bertindak segera sekiranya menerima maklumat daripada orang ramai” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam serbuan dibuat terhadap sebuah karaoke sekitar bandar ini, seorang murid berusia 10 tahun antara yang disoal siasat.

Kanak-kanak itu telah dibebaskan setelah diberi nasihat dan amaran keras.

Pengusaha premis turut diberi amaran dari PADK dan sekiranya mereka masih berdegil dan membenarkan remaja di bawah umur memasuki premis itu, PADK dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) akan menarik lesen perniagaannya.

Sementara itu, ibu bapa di rumah juga dinasihatkan agar mengawasi tingkah laku anak dengan mengambil berat terhadap segala aktiviti yang dilakukan mereka supaya golongan muda dapat menjadi insan cemerlang kelak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan