Isnin, 6 Julai 2009

JIM Bantu Penyelidikan di Institusi Al-Zaytouna


Palestine Centre of Excellence (PACE) hari ini telah menyampaikan sumbangan kepada Dr. Mohsen Saleh, Pengurus Penyelidikan & Perundingan Al-Zaytouna Beirut, pada sesi petang setelah berakhirnya Konvensyen Berakhirnya Agenda Zionis yang berlangsung di PWTC.

Sumbangan berjumlah RM20,000 ini telah disampaikan oleh Md. Nasir Tampol, Penolong Pengurus Jawatankuasa Antarabangsa, sebagai wakil PACE dan sumbangan ini bertujuan membantu Al-Zaytouna dalam menghasilkan bahan penerbitan dan aktiviti kajian terutamanya yang berkaitan dengan isu Palestin serta dunia Islam.

Al-Zaytouna merupakan sebuah institusi penyelidikan dan menerbitkan hasil-hasil kajian dalam bahasa Arab dan bahasa Inggeris. Menurut Dr. Mohsen, bahan-bahan penerbitan Al-Zaytouna telah mendapat kedudukan yang pertama dikalangan penerbit-penerbit negara-negara Arab. Beliau turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah banyak membantu memperjuangkan isu Palestin terutamanya masyarakat Malaysia yang telah menyumbang kepada tabung-tabung Palestin.

Sumbangan yang diserahkan kepada Al-Zaytouna merupakan sejumlah dari sumbangan orang awam dan juga korporat sepanjang kempen Palestin yang dijalankan oleh PACE dan JIM di seluruh Malaysia tahun ini. Dr. Mohsen bakal memberikan satu ceramah berkaitan keadaan terkini Palestin dan politik Israel-Palestin pada hari Rabu, 13hb Mei ini, di Pusat Komuniti JIM, Taman Melawati. Program ini dianjurkan oleh PACE dan akan bermula pada pukul 8.30 malam sehingga 9.30 malam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan