Ahad, 28 Februari 2010

Cuaca Bulanan JANUARI 2010

malaysia meteorological Dept

JANUARI 2010

1. Ringkasan

Keseluruhannya, negara menerima jumlah hujan yang sangat kurang daripada purata hingga sangat melebihi purata. Kebanyakkan tempat merekodkan suhu yang kurang daripada nilai purata suhu jangka panjang. Negara juga telah merekodkan jumlah sinaran suria yang tinggi dan telah menerima kadar sejatan yang rendah.

2. Hujan

Bagi jumlah hujan bulanan di Semenanjung Malaysia, Ipoh telah merekodkan jumlah hujan tertinggi sebanyak 286.0 mm sementara Bayan Lepas merekodkan jumlah hujan terendah dengan 26.0mm. Di Sarawak, Kuching telah merekodkan jumlah hujan tertinggi sebanyak 887.4 mm manakala Miri merekodkan jumlah hujan terendah dengan bacaan 273.4 mm. Di Sabah pula, Kudat merekodkan jumlah hujan tertinggi sebanyak 308.4 mm dan Tawau merekodkan jumlah hujan terendah sebanyak 130.0 mm.

Berdasarkan skema klasifikasi, terdapat 8 stesen merekodkan jumlah hujan sangat melebihi purata, 4 stesen merekodkan melebihi purata dan 13 stesen merekodkan jumlah hujan menyamai purata. Sementara itu, terdapat 5 stesen yang merekodkan jumlah hujan kurang daripada purata dan 3 stesen merekodkan jumlah hujan sangat kurang daripada purata.



3. Suhu

Pada amnya, kebanyakkan tempat di seluruh negara telah mencatatkan suhu yang rendah berbanding suhu jangka panjang untuk bulan Januari ini. Purata suhu bulanan bagi kawasan tanah rendah berjulat dari 25.3°C hingga 28.6°C seperti yang direkod di Kuala Krai dan Pulau Langkawi. Kuantan telah merekodkan sisihan positif yang terbesar iaitu +1.1°C dari normal.

Purata suhu minimum bagi tanah rendah berjulat dari 22.1°C (Kuala Krai) hingga 25.1°C (Pulau Langkawi dan Bayan Lepas). Suhu terendah yang direkodkan pada bulan Januari ialah 20.3°C telah direkodkan di Batu Embun.
Purata suhu maksimum bagi tanah rendah berjulat dari 29.2°C (Kudat) hingga 33.3°C (Alor Setar). Suhu tertinggi yang direkodkan pada bulan Januari ialah 35.7°C telah direkodkan di Alor Setar.

Satu-satunya stesen tanah tinggi, Cameron Highlands, telah merekodkan suhu berjulat dari 12.3°C hingga 24.4°C dengan suhu purata 17.5°C.

4. Sinaran Suria

Negara pada amnya telah menerima sinaran suria yang lebih tinggi dari purata. Julat purata sinaran suria harian ialah daripada 13.38MJm-2(Kuching) hingga 19.42MJm-2 (Bayan Lepas). Sisihan positif dan negatif terbesar dari normal adalah +2.05MJm-2 (Subang) dan -0.61MJm-2 (Pulau Langkawi).

5. Sejatan

Negara telah menerima kadar sejatan yang rendah pada bulan Januari ini. Purata kadar sejatan harian bagi tanah rendah berjulat dari 2.7mm/hari (Kuala Krai) hingga 6.1mm/hari (Pulau Langkawi). Sisihan negatif terbesar ialah -0.8mm/hari (Alor Setar) manakala sisihan positif terbesar ialah +0.8mm/hari (Kluang and Kudat).
Purata kadar sejatan harian di Cameron Highlands ialah 1.8mm/hari dengan sisihan sebanyak -0.2mm/hari.