Khamis, 11 Jun 2009
Pelajar Malaysia berdikari, sahut cabaran belajar di Belfast
PERIBAHASA 'Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung' menjadi pegangan pelajar Malaysia yang mengikuti pengajian di Queen’s University Belfast (QUB), Ireland Utara.
http://www.blogger.com/post-create.g?blogID=6797483257888480649
Selain terus mengamalkan adab ketimuran, mereka juga tidak melepaskan peluang mempelajari budaya dan cara hidup masyarakat tempatan.
Bagi pelajar Tahun Empat Ijazah Perubatan, Taufik Hairudin, 24, hidup di Belfast, bandar terkenal pelbagai tinggalan sejarah itu turut memberinya peluang menimba banyak pengalaman, selain mengajar hidup berdikari di perantauan.
Walaupun tidak semudah di negara sendiri atau di bandar yang mempunyai ramai Muslim, Pengerusi Kelab Melayu Queen’s (QMC) itu berkata, makanan halal masih boleh didapati di beberapa kedai menjual makanan Asia.
“Namun kami tetap merindui masakan Malaysia seperti nasi kerabu, sate, soto, laksa, lontong, kuetiau dan masakan mamak,” katanya ketika ditemui di Pusat Rekreasi QUB, Ireland Utara, baru-baru ini.
Mengenai fungsi kelab pimpinannya, bekas pelajar Kolej Mara Banting itu berkata ia bertindak menjaga kebajikan pelajar Melayu seperti membantu mencari rumah sewa, selain menganjurkan pelbagai aktiviti yang mengeratkan silaturahim.
“Pada bulan puasa, kami adakan majlis berbuka beramai-ramai. Ketika Hari Raya Puasa dan Haji, kami turut membuat kunjungan menemui pelajar Melayu seluruh Ireland,” katanya.
Rakannya, Nik Amalina Nik Saidina Omar, 24, yang juga bekas pelajar Kolej Mara Banting menjelaskan di QUB, warganya lebih gemar berjalan kaki atau berbasikal untuk ke mana-mana.
“QUB juga menitikberatkan kepentingan pelajar, contohnya ketika menjalani latihan industri di hospital tempatan, saya mendapat sokongan baik daripada doktor muda dan penasihat akademik,” katanya.
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Aktuari, Lee Wooi Kent, 21, berkata pensyarahnya mesra dan berusaha memastikan pelajar memahami pengajaran disampaikan.
“Mulanya sukar juga belajar di sini kerana bahasa Inggeris bukan bahasa utama di rumah, namun dengan bantuan pensyarah serta rakan-rakan, kini saya dapat menguasainya dengan baik.
“Sistem pembelajaran di sini baik untuk pelajar antarabangsa kerana ia menggalakkan berdikari. Jadi, untuk mendapatkan keputusan yang baik, pelajar perlu berusaha lebih keras,” katanya.
Sementara itu, pelajar Ijazah Sarjana Sains Komputer, Edzreena Edza Odzaly, yang datang bersama suami serta dua anak berkata, walaupun menghadapi pelbagai masalah antaranya penyesuaian diri dengan persekitaran dan budaya tempatan, selain penjagaan anak, ia dapat diatasi.
“Selepas dua setengah tahun di sini, dengan bantuan komuniti Malaysia yang saling mengambil berat serta menolong antara satu sama lain, saya dan suami tidak terasa sangat bebannya walaupun terpaksa bekerja sambilan untuk menyara hidup.
“Selain itu, pihak universiti turut membantu termasuk bagi mereka yang menghadapi masalah kewangan atau bertutur dan menulis dalam bahasa Inggeris,” katanya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan