Khamis, 11 Jun 2009

'Kerajaan jangan terburu-buru'




Oleh MOHD. RAFIE AZIMI
rafie.azimi@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 10 Jun - Kalangan tokoh pendidik meminta kerajaan agar tidak bersikap terburu- buru dalam menentukan dasar pendidikan di samping menyelesaikan sesuatu isu secara satu per satu.

Rata-rata mereka berpendapat, cadangan mewajibkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lulus subjek Bahasa Inggeris (BI) perlu diperhalusi secara teliti selain dinilai dari pelbagai sudut.

Tokoh pendidik, Tan Sri Abdul Rahman Arshad berkata, penilaian untuk merealisasikan cadangan itu tidak hanya perlu dilihat dari sudut pelajar malah aspek perguruan.

"Taburan guru BI perlu dipastikan seimbang. Guru-guru yang mengajar terutama di luar bandar tidak boleh diambil sekadar tangkap muat tetapi mereka seharusnya fasih dan menguasai bahasa Inggeris sepenuhnya.

"Mengajar di bandar dan di luar bandar tidak sama. Di luar bandar, lebih banyak guru pemulihan diperlukan dan itu menuntut cara serta kebolehan mengajar yang tinggi," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meminta pandangan pelbagai pihak mengenai cadangan mewajibkan calon lulus mata BI sebagai syarat lulus SPM.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran turut meminta pandangan orang ramai berhubung pembelajaran Bahasa Inggeris yang tidak melibatkan tatabahasa tetapi hanya untuk berkomunikasi.

Mengenai kebaikan cadangan itu jika dilaksanakan, Abdul Rahman mengakui ia adalah lebih baik berbanding PPSMI.

Tambahnya, jika direalisasikan, ia memberi peluang yang sama rata kepada semua pelajar dari mana-mana aliran untuk mempelajari dan menggunakan bahasa Inggeris .

"Tidaklah seperti sekarang, pelajar aliran sains mendapat peluang lebih untuk mempelajari dan menggunakan bahasa Inggeris berbanding pelajar aliran sastera," jelasnya.

Seorang lagi tokoh pendidik, Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim menegaskan, cadangan itu hanya boleh dilaksanakan jika kerajaan menarik semula dasar PPSMI.

Menurutnya, sekiranya cadangan itu dilaksanakan tanpa memansuhkan PPSMI, para pelajar seakan didera dua kali dalam menuntut ilmu.

"Sekiranya cadangan itu mahu dilaksanakan, pastikan PPSMI ditarik semula. Jika tidak, ia akan menjadi sangat tidak adil kepada pelajar miskin di luar bandar dan ia seakan satu bentuk penderaan kepada mereka," katanya.

Sementara itu, pakar budaya yang juga Pengarah Institut Peradaban Melayu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Abdullah Hassan tidak bersetuju dengan cadangan itu.

Katanya, cadangan itu jika dilaksanakan bakal menafikan hak para pelajar yang lemah dalam BI terutama di luar bandar untuk menuntut ilmu ke tahap tertinggi.

"Buat masa ini, mereka yang lemah dalam BI berpeluang ke universiti dan di sana mereka mempunyai ruang yang lebih besar untuk memperbaiki penguasaan bahasa itu.

"Tetapi jika cadangan ini dilaksanakan, hasrat mereka ke universiti akan terbantut. Ia boleh dianggap sebagai sebahagian penafian hak mereka mendapatkan pengajian di peringkat tertinggi," jelasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan