Khamis, 11 Jun 2009

Laman IPTS: Sains kesihatan


PERKEMBANGAN sains kesihatan sejak pembinaan hospital swasta sekitar tahun 1990-an menyaksikan peranan yang dimainkannya menjadi semakin meluas sejajar dengan keperluan masa kini.

Namun, Malaysia masih kekurangan kakitangan dalam bidang itu kerana secara purata, kerajaan mensasarkan 175,000 ahli profesional menjelang tahun 2020 dalam industri kesihatan yang kini hanya 13,500 ahli profesional dalam bidang kesihatan bersekutu di negara ini.

Bagi menangani masalah itu, kerajaan perlu melatih sekurang-kurangnya 55,000 ahli profesional kesihatan bersekutu bagi menampung permintaan dalam industri kesihatan tempatan.

Nisbah jururawat kepada penduduk adalah 1:600 sedangkan nisbah idea mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah 1:200. Ini bermakna negara ini memerlukan 130,000 jururawat menjelang 2020.

Menyedari kepentingan dan prospek dalam bidang sains kesihatan, Masterskill Education Group Berhad (MEGB) membuka cawangannya yang berstatus kolej di Ipoh yang mampu menempatkan 12,000 hingga 15,000 pelajar dalam satu masa.

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Edmund Santhara berkata, pihaknya serius dalam membantu kerajaan dan hospital swasta dalam melahirkan ahli profesional kesihatan berkemahiran tinggi.

“Di cawangan ini, kami menawarkan diploma dalam bidang Kejururawatan, Fisioterapi, Penjagaan Kesihatan, Kesihatan Persekitaran dan Teknologi Makmal Perubatan yang mendapat akreditasi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) serta diperakui Kementerian Pengajian Tinggi.

“Oleh yang demikian, pelajar yang mengikuti program diploma dari MEGB tidak perlu bimbang kerana diploma kami setaraf dengan apa yang dianugerahkan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan tidak lama lagi lebih banyak program peringkat diploma dan ijazah akan ditawarkan di Ipoh,” katanya kepada Berita Harian, baru-baru ini.

Beliau yang juga Pegawai Eksekutif MEGB berkata, program yang ditawarkan adalah kategori kritikal bagi menampung kekurangan kakitangan terlatih dalam bidang sains kesihatan di hospital serta sektor lain.

Katanya, MEGB Ipoh juga sudah memperkenalkan Asas Sains Kesihatan kepada pelajar di mana ia direka khas untuk pelajar lepasan sekolah sebelum melanjutkan pengajian di peringkat ijazah.

“Graduan kami mendapat permintaan tinggi di hospital berprestij dan kebanyakan mereka mendapat pekerjaan sebelum menamatkan pengajian lagi.

“Dengan infrastruktur serba canggih seperti tempat tinggal selesa, makmal sains serba lengkap, kemudahan bersukan dan rekreasi, kampus ini menawarkan persekitaran kondusif lagi moden yang dapat membantu perkembangan pembelajaran pelajar dengan baik.

“Selain itu, tenaga pengajar di kampus Ipoh terdiri daripada golongan profesional dan berpengalaman luas dalam bidang masing-masing, justeru pelajar dapat memperoleh pengetahuan serta berkongsi pengalaman dengan mereka,” katanya.

Edmund berkata, MEGB Ipoh diyakini memberikan pendidikan menyeluruh dan seimbang dari segi akademik, kerohanian dan jasmani yang mana pelajarnya akan melalui pengalaman pembelajaran sama seperti pelajar di kampus MEGB lain seperti di Cheras, Kota Bahru dan Kota Kinabalu.

“MEGB Ipoh dapat membantu pelajar membuat pilihan tepat demi masa depan mereka serta memainkan peranan sebagai ‘pengeluar’ utama profesional dalam bidang sains kesihatan tempatan dan di peringkat antarabangsa,” katanya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan