Khamis, 11 Jun 2009

Belasungkawa: Shukery Hashim (1954 - 2009)


KARIER Allahyarham bermula dengan drama radio pada 1975 diikuti dengan drama TV pada 1984. Bakat lakonannya memang tidak boleh dipertikaikan, sehingga kini lebih ratusan drama dibintanginya termasuk yang sedang ditayangkan Cinta Gila di Astro Prima di mana Allahyarham memegang watak Mahmood seorang penyanyi lama yang ingin kembali aktif dalam dunia hiburan tanah air.

Bagaimanapun, beberapa babak drama berkenaan belum sempat diselesaikan berikutan dia terpaksa menerima rawatan penyakitnya.

Wajah Allahyarham Shukery lebih kerap menghiasi kaca televisyen berbanding layar lebar kerana dia mengakui lebih senang membintangi drama TV berbanding filem. Pertama kerana bayaran yang cepat dan kedua pembikinannya yang lebih pantas berbanding filem.

Biarpun banyak membintangi drama, namun Shukery tidak menolak tawaran berlakon filem. Allahyarham pernah membintangi tujuh filem, kemunculan sulungnya adalah melalui filem Rahsia arahan Othman Hafsham pada 1987, diikuti Syahadat, Ujang, Pesona Cinta, Seri Dewi Malam, Janji Diana dan terakhir Shh... Dia Datang arahan Apek Senario yang masih belum ditayangkan.

Berikan apa saja watak kepadanya, Allahyarham Shukery berjaya menghidupkannya. Dari watak seorang bergelar Datuk kepada watak bapa hinggalah lelaki miang semuanya berjaya ditangani dengan baik. Jika tidak masakan bakatnya itu mendapat pengiktirafan, anugerah pertama yang diterimanya adalah Pelakon Terbaik di Anugerah Sri Angkasa pada 1990, empat tahun kemudian, Allahyarham menjulang trofi Pelakon Drama TV Terbaik pada anugerah sama.

Kehadiran Allahyarham Shukery dalam dunia lakonan juga ternyata menjadi perhatian peminat mungkin kerana kekerapannya muncul di kaca televisyen. Oleh kerana kekerapan itu serta lakonan yang berkesan, dia menjadi pilihan peminat untuk menerima gelaran Pelakon TV Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 1995). Al-Fatihah. Semoga rohnya dicucuri rahmat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan