Isnin, 29 Jun 2009

Sepuluh fitrah manusia cantik


anuarani

1. Membetulkan misai. Lelaki yang menyimpan misai harus memastikannya dalam keadaan terurus dan digunting apabila perlu agar ia sentiasa kelihatan kemas dan bersih. Jika perempuan tumbuh misai, maka wajiblah dibuang.

2. Menjaga janggut. Menyimpan janggut adalah salah satu daripada sunnah Rasulullah s.a.w. Bagaimana pun, dalam masa yang sama ia mesti dijaga rapi.

3. Memendekkan kuku. Segala kotoran tidak melekat serta memudahkan air sembahyang sampai ke celah-celah kuku jika ia dipendekkan.
4. Membersihkan sendi tangan. Memastikan celah-celah jari serta tangan sentiasa digosok dan dibersihkan sebagaimana yang dianjurkan semasa mengambil wuduk.

5. Membersihkan sendi kaki. ia boleh dilakukan semasa mengambil wuduk atau semasa mandi.

6. Kebersihan hidung. Dengan beristinsyaq atau menyedut air ke dalam hidung dan menghembuskannya. Selain membersih, ia juga mengelakkan sebarang penyakit yang berkaitan dengan hidung.

7. Mencabut dan membersihkan bulu ketiak. Islam tidak menggalakkannya dicukur kerana ia akan menyebabkan bulu ketiak cepat tumbuh dan lebih kasar.

8. Kebersihan mulut. Dengan menggosok gigi atau bersiwak ketika berwuduk, sebelum solat, ketika mulut berbau, ketika masuk rumah, bangun tidur dan ketika hendak belajar.

9. Mencukur bulu ari-ari. Islam tidak menggalakkan dicabut kerana akan mengendurkan otot-otot di sekitarnya.

10. Mencebuk air. (mandi dan membasuh bahagian sulit). Wanita diwajibkan berdehem semasa membuang air kecil agar ia tidak bersisa.

Cerminlah Dirimu Anakku


Anakku cerminlah dirimu sebelum kamu disuruh mencermin diri mu. Lihat dirimu didalam cermin. Apa yang kau lihat. Dapatkah kau memahami dan menerangkan dengan kata-kata apa yang terbayang dihadapan mu. Ingatlah anakku. Jangan kau tertipu. Apa yang kau lihat hanyalah sisi sana wajah mu.

Apa itu SISI SANA WAJAH MU. Ayuh berhenti membaca catatan ini anak ku biar ku terangkan apa kah itu sisi sana wajah mu. Cuba kau ambil sehelai kertas yang mempunyai coretan. Bolehkah kau membacanya.
Sekarang bawalah kertas itu kehadapan bingkai cermin yang kau tatap sebentar tadi. Dapatkah kau baca tulisan itu didalam bingkai kaca tersebut. Tidak mudah bukan!!. Apa yang kau lihat didalam cermin itu sebanarnya merupakan pandangan sisi sebelah sana lembaran tulisan itu.

Sekarang sudah faham bukan apa itu sisi sebelah sana wajah mu di dalam cermin. Lihat semula dirimu didalam cermin. Apa yang kau lihat.
Wajah yang bujur sirih
Wajah yang hitam legam!!??.
Wajah yang bulat putih gebu!!??
Wajah yang berseri, ada pancaran di mata yang dianugerahkan Allah!!??

Ingat anakku bukan itu yang kau kusuruh perhatikan. Kau ku suruh melihat lebih jauh kedalam dari wajah yang kau nampak. Lihat kedalam hati mu. Putih bersihkah. Hitamkah tebalkah salutan sifat mahmudan atau mazmumah. Tidak apa anak ku nanti akan ku bicarakan akan hal ini dengan lebih halus lagi.

Sekarang marilah kita kembali kepada apa yang kita bicarakan anak ku. Cerminlah diri mu. Ini bukan sindiran anak ku jauh sekali kejian.. sesiapa yang terasa cili apa mambaca catatan ini silalah bermuhasabah diri apabila terasa pedasnya.

Satu pesan ku kepada anak-anakku. Jika kau lihat wajah yang hitam legam, Nampak hodoh dimata manusia di dunia. Kita siapa yang berani sungguh memberi markah kepada ciptaan tuhan. Hakikatnya dalam setiap ciptaan ilahi itu ada tersembunyi keindahan dan ujiannya. Dalam hitam itu ada manisnya. Dalam legam itu akan datang dengan serinya. Hanya akan kelihatan jika kita basahkan dengan zikir dan kilatkan dengan Iman yang tinggi kepada allah. Semakin tinggi iman yang kau miliki, semakin serilah wajah yang kononnya hitam dan legam itu.

Seperkara lagi anak ku, jangan sekali-kali kau persoalkan tindakan tuhan . jangan kau tangiskan Kada dan Kadar tuhan terhadap mu. Kau tidak tahu apa rahsia yang Allah sembunyikan dari mu. Kau tidak tahu apakah hikmah disebalik ujian yang ditimpakan kepada mu. Jadi apa pilihan mu. Satu kecewa dengan takdir yang ditimpakan kepada mu: menangis siang dan malam mengenang nasib diri tanpa mampu mengubah apa-apa dan biarkan diri terus hanyut ke lubuk kegagalan atau dua, kau lihat hidup ini dengan penuh keyakinan akan Kudrat serta Iradat Allah , dan melangkah terus mengharungi hidup ini dengan penuh gagah dan semangat dengan bergantung harap kepada Allah dengan merayu serta merintih didalam doa dan memohon agar Allah menguatkan tali simpul mu dengan Allah.

Anak ku, jika lihat wajah didalam cermin itu yang putih gebu. Jangan rasakan diri dah hebat. Sudah anggun dan tercantik hingga rasa layak untuk menjadi sombong dan takabur. Kerana disisi Allah cantik itu tiada sekelumitpun makna kerana itu hanyalah bersifat sementara: merupakan ujian dalam bentuk fitnah dunia, jika kau tergelincir, ruginya tidak lain selain dari kau juga. Anakku, yang putih gebu itu lagi mudah nampak buruknya jika tidak disiram dengan zikrullah dan dibasuh dengan air sembahyang.

Ingat anak ku, putih gebu itu sebarangan jadinya. Itulah merupakan ujian Allah yang amat mudah menyesatkan manusia. Hidup ini hanya ada dua pilihan tidak ada pilihan ketiga. Pilihan pertama pilihlah jalan yang lurus. Jalan yang ditunjukkan Allah. Walaupun kelihatannya penuh ranjau dan berduri, tapi itu hanyalah fatamorgana semata. Itu hanyalah bayangan dan biasan bertujuan untuk melemahkan jiwa. Jika kau dapat kuatkan jiwa dan tidak putus-putus mohon perlindungan Allah, rintangan yang kau lihat itu mudah kau terjah dan harungi dengan mudah.

Pilihan kedua, kelihatannya jalan itu luas terbentang, penuh dengan keindahan yang mengamit jiwa. Hakikatnya anakku itulah seburuk-buruk jalan. Penuh dengan ranjau sepanjang jalan yang menyesakkan jiwa. Semakin jauh kau memasukinya, semakin kau hilang punca dan merasakan kekontangan jiwa dan berserabut kepala yang semakin bertambah dari masa kesemasa. Itulah jalan ke neraka yang tidak menjanjikan keuntungan atau kejayaan sebaliknya hanyalah menjanjikan kerugian dan kesesatan semata.
Oleh : Mohd Nizam Bin HJ. Badaruddin - dari cina islam blogspot
Sebarang komen dan maklumbalas yang membina adalah amat dialu-alukan
Boleh emailkan ke sahaniza@oum.edu.my

Selasa, 16 Jun 2009

Gambar majlis jamuan negara presiden Iran

Bersama-sama ini saya lampirkan tiga keping gambar majlis jamuan Negara yang diadakan oleh Presiden Iran bagi meraikan lawatan oleh Presiden Bolivia ke Teheran baru-baru ini. Saya amat tertarik menatap gambar2 ini yang secara jelas menzahirkan betapa sederhananya seorang yang bergelar Presiden sebuah Negara yang amat dibenci oleh US dan sekutunya.

Khamis, 11 Jun 2009

H1N1 kini wabak global


GENEVA - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberitahu negara-negara anggotanya bahawa ia mengisytiharkan influenza A (H1N1) sebagai wabak global.

Langkah itu dibuat semalam ketika jangkitan H1N1 meningkat di Amerika Syarikat (AS), Eropah, Australia, Amerika Selatan dan di rantau lain.

Dalam kenyataan yang dihantar ke negara-negara anggota, WHO berkata ia memutuskan untuk menaikkan tahap amaran wabak itu daripada fasa lima kepada enam iaitu paras tertinggi.

Keputusan itu dibuat selepas agensi kesihatan PBB itu mengadakan mesyuarat tergempar mengenai H1N1 dengan pakar-pakar kesihatannya.

Pegawai-pegawai kesihatan dari Scotland, Indonesia dan Thailand berkata agensi itu mengisytiharkan H1N1 sebagai wabak global selepas mengadakan persidangan dengan pakar kesihatan terkenal. Menteri Kesihatan Indonesia, Siti Fadilah Supari berkata beliau dimaklumkan oleh WHO mengenai keputusan untuk meningkatkan tahap amaran kepada fasa enam.

Wabak yang dikenali sebagai selesema Hong Kong pada 1968 menyebabkan sejuta orang meninggal dunia.

Selesema biasa menyebabkan 250,000 hingga 500,000 orang maut pada setiap tahun.

Kementerian tambah elaun guru pedalaman


KEMENTERIAN Pelajaran mengkaji menambah elaun guru di kawasan pedalaman kepada lima kategori, berbanding hanya tiga ketika ini selepas mengambil kira kesusahan dan kepayahan dialami mereka.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata selepas merasai sendiri keperitan guru di pedalaman khususnya di Pahang, Sarawak dan Sabah dia yakin elaun itu wajar dikaji semula.

Mohd Puad berkata, ketika ini kementerian membayar elaun petugas di pedalaman iaitu RM500, RM1,000 dan RM1,500 kepada guru mengikut kategori kawasan.

Menceritakan pengalaman ketika melawat di kawasan pedalaman di Pahang, Sarawak dan Sabah, baru-baru ini, beliau berkata, ada guru wanita sarat mengandung dan berkhidmat lebih lima tahun.

''Guru itu menjalankan tugas dengan penuh rasa tanggungjawab mendidik anak bangsa tanpa rasa bosan dan kecewa," katanya.

“Saya juga dapat lihat rumah guru yang begitu uzur dan guru berbantalkan beg untuk tidur,” katanya.

Ketika lawatan itu juga, beliau bermalam di rumah panjang di Sarawak, manakala di Sekolah Kebangsaan (SK) Titom, Pahang beliau tidur di asrama untuk merasai sendiri suasana di sekolah pedalaman.

''Saya terharu dan bangga kerana guru berjaya mewujudkan persekitaran kondusif di sekolah masing-masing.

“Bagi mengurangkan tekanan, sewajarnya guru bertugas di pedalaman diberi elaun lebih munasabah,” katanya pada sidang akhbar sempena lawatan ke beberapa sekolah Orang Asli di daerah Lipis, baru-baru ini.

Antaranya ialah SK Betau, SK Lenjang dan SK Titom.

Mohd Puad berkata, kerajaan meminta Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan membuat kajian menyeluruh menentukan elaun bagi lima kategori yang akan diperkenalkan itu.

''Kenaikan itu nanti sebagai insentif supaya guru lebih bersemangat menjalankan tugas di pedalaman yang tersisih daripada segala kemudahan.

”Kita bangga kerana mereka cukup bersemangat dan menunjukkan kesungguhan mengharungi kesukaran untuk memberi pendidikan kepada anak bangsa," katanya.

Dalam perkembangan sama, kementerian akan mewujudkan skim khas untuk mengambil lebih ramai Orang Asli dan pribumi berkelayakan menjadi guru terlatih.

Mohd Puad berkata, kementerian akan berbincang dengan Bahagian Pendidikan Guru untuk menetapkan kelulusan minimum bagi membolehkan masyarakat berkenaan memohon masuk ke institusi pendidikan guru seluruh negara.

Laman IPTS: Sains kesihatan


PERKEMBANGAN sains kesihatan sejak pembinaan hospital swasta sekitar tahun 1990-an menyaksikan peranan yang dimainkannya menjadi semakin meluas sejajar dengan keperluan masa kini.

Namun, Malaysia masih kekurangan kakitangan dalam bidang itu kerana secara purata, kerajaan mensasarkan 175,000 ahli profesional menjelang tahun 2020 dalam industri kesihatan yang kini hanya 13,500 ahli profesional dalam bidang kesihatan bersekutu di negara ini.

Bagi menangani masalah itu, kerajaan perlu melatih sekurang-kurangnya 55,000 ahli profesional kesihatan bersekutu bagi menampung permintaan dalam industri kesihatan tempatan.

Nisbah jururawat kepada penduduk adalah 1:600 sedangkan nisbah idea mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah 1:200. Ini bermakna negara ini memerlukan 130,000 jururawat menjelang 2020.

Menyedari kepentingan dan prospek dalam bidang sains kesihatan, Masterskill Education Group Berhad (MEGB) membuka cawangannya yang berstatus kolej di Ipoh yang mampu menempatkan 12,000 hingga 15,000 pelajar dalam satu masa.

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Edmund Santhara berkata, pihaknya serius dalam membantu kerajaan dan hospital swasta dalam melahirkan ahli profesional kesihatan berkemahiran tinggi.

“Di cawangan ini, kami menawarkan diploma dalam bidang Kejururawatan, Fisioterapi, Penjagaan Kesihatan, Kesihatan Persekitaran dan Teknologi Makmal Perubatan yang mendapat akreditasi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) serta diperakui Kementerian Pengajian Tinggi.

“Oleh yang demikian, pelajar yang mengikuti program diploma dari MEGB tidak perlu bimbang kerana diploma kami setaraf dengan apa yang dianugerahkan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan tidak lama lagi lebih banyak program peringkat diploma dan ijazah akan ditawarkan di Ipoh,” katanya kepada Berita Harian, baru-baru ini.

Beliau yang juga Pegawai Eksekutif MEGB berkata, program yang ditawarkan adalah kategori kritikal bagi menampung kekurangan kakitangan terlatih dalam bidang sains kesihatan di hospital serta sektor lain.

Katanya, MEGB Ipoh juga sudah memperkenalkan Asas Sains Kesihatan kepada pelajar di mana ia direka khas untuk pelajar lepasan sekolah sebelum melanjutkan pengajian di peringkat ijazah.

“Graduan kami mendapat permintaan tinggi di hospital berprestij dan kebanyakan mereka mendapat pekerjaan sebelum menamatkan pengajian lagi.

“Dengan infrastruktur serba canggih seperti tempat tinggal selesa, makmal sains serba lengkap, kemudahan bersukan dan rekreasi, kampus ini menawarkan persekitaran kondusif lagi moden yang dapat membantu perkembangan pembelajaran pelajar dengan baik.

“Selain itu, tenaga pengajar di kampus Ipoh terdiri daripada golongan profesional dan berpengalaman luas dalam bidang masing-masing, justeru pelajar dapat memperoleh pengetahuan serta berkongsi pengalaman dengan mereka,” katanya.

Edmund berkata, MEGB Ipoh diyakini memberikan pendidikan menyeluruh dan seimbang dari segi akademik, kerohanian dan jasmani yang mana pelajarnya akan melalui pengalaman pembelajaran sama seperti pelajar di kampus MEGB lain seperti di Cheras, Kota Bahru dan Kota Kinabalu.

“MEGB Ipoh dapat membantu pelajar membuat pilihan tepat demi masa depan mereka serta memainkan peranan sebagai ‘pengeluar’ utama profesional dalam bidang sains kesihatan tempatan dan di peringkat antarabangsa,” katanya

Pelajar Malaysia berdikari, sahut cabaran belajar di Belfast


PERIBAHASA 'Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung' menjadi pegangan pelajar Malaysia yang mengikuti pengajian di Queen’s University Belfast (QUB), Ireland Utara.
http://www.blogger.com/post-create.g?blogID=6797483257888480649
Selain terus mengamalkan adab ketimuran, mereka juga tidak melepaskan peluang mempelajari budaya dan cara hidup masyarakat tempatan.

Bagi pelajar Tahun Empat Ijazah Perubatan, Taufik Hairudin, 24, hidup di Belfast, bandar terkenal pelbagai tinggalan sejarah itu turut memberinya peluang menimba banyak pengalaman, selain mengajar hidup berdikari di perantauan.

Walaupun tidak semudah di negara sendiri atau di bandar yang mempunyai ramai Muslim, Pengerusi Kelab Melayu Queen’s (QMC) itu berkata, makanan halal masih boleh didapati di beberapa kedai menjual makanan Asia.

“Namun kami tetap merindui masakan Malaysia seperti nasi kerabu, sate, soto, laksa, lontong, kuetiau dan masakan mamak,” katanya ketika ditemui di Pusat Rekreasi QUB, Ireland Utara, baru-baru ini.

Mengenai fungsi kelab pimpinannya, bekas pelajar Kolej Mara Banting itu berkata ia bertindak menjaga kebajikan pelajar Melayu seperti membantu mencari rumah sewa, selain menganjurkan pelbagai aktiviti yang mengeratkan silaturahim.

“Pada bulan puasa, kami adakan majlis berbuka beramai-ramai. Ketika Hari Raya Puasa dan Haji, kami turut membuat kunjungan menemui pelajar Melayu seluruh Ireland,” katanya.

Rakannya, Nik Amalina Nik Saidina Omar, 24, yang juga bekas pelajar Kolej Mara Banting menjelaskan di QUB, warganya lebih gemar berjalan kaki atau berbasikal untuk ke mana-mana.

“QUB juga menitikberatkan kepentingan pelajar, contohnya ketika menjalani latihan industri di hospital tempatan, saya mendapat sokongan baik daripada doktor muda dan penasihat akademik,” katanya.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Aktuari, Lee Wooi Kent, 21, berkata pensyarahnya mesra dan berusaha memastikan pelajar memahami pengajaran disampaikan.

“Mulanya sukar juga belajar di sini kerana bahasa Inggeris bukan bahasa utama di rumah, namun dengan bantuan pensyarah serta rakan-rakan, kini saya dapat menguasainya dengan baik.

“Sistem pembelajaran di sini baik untuk pelajar antarabangsa kerana ia menggalakkan berdikari. Jadi, untuk mendapatkan keputusan yang baik, pelajar perlu berusaha lebih keras,” katanya.

Sementara itu, pelajar Ijazah Sarjana Sains Komputer, Edzreena Edza Odzaly, yang datang bersama suami serta dua anak berkata, walaupun menghadapi pelbagai masalah antaranya penyesuaian diri dengan persekitaran dan budaya tempatan, selain penjagaan anak, ia dapat diatasi.

“Selepas dua setengah tahun di sini, dengan bantuan komuniti Malaysia yang saling mengambil berat serta menolong antara satu sama lain, saya dan suami tidak terasa sangat bebannya walaupun terpaksa bekerja sambilan untuk menyara hidup.

“Selain itu, pihak universiti turut membantu termasuk bagi mereka yang menghadapi masalah kewangan atau bertutur dan menulis dalam bahasa Inggeris,” katanya.

Belasungkawa: Shukery Hashim (1954 - 2009)


KARIER Allahyarham bermula dengan drama radio pada 1975 diikuti dengan drama TV pada 1984. Bakat lakonannya memang tidak boleh dipertikaikan, sehingga kini lebih ratusan drama dibintanginya termasuk yang sedang ditayangkan Cinta Gila di Astro Prima di mana Allahyarham memegang watak Mahmood seorang penyanyi lama yang ingin kembali aktif dalam dunia hiburan tanah air.

Bagaimanapun, beberapa babak drama berkenaan belum sempat diselesaikan berikutan dia terpaksa menerima rawatan penyakitnya.

Wajah Allahyarham Shukery lebih kerap menghiasi kaca televisyen berbanding layar lebar kerana dia mengakui lebih senang membintangi drama TV berbanding filem. Pertama kerana bayaran yang cepat dan kedua pembikinannya yang lebih pantas berbanding filem.

Biarpun banyak membintangi drama, namun Shukery tidak menolak tawaran berlakon filem. Allahyarham pernah membintangi tujuh filem, kemunculan sulungnya adalah melalui filem Rahsia arahan Othman Hafsham pada 1987, diikuti Syahadat, Ujang, Pesona Cinta, Seri Dewi Malam, Janji Diana dan terakhir Shh... Dia Datang arahan Apek Senario yang masih belum ditayangkan.

Berikan apa saja watak kepadanya, Allahyarham Shukery berjaya menghidupkannya. Dari watak seorang bergelar Datuk kepada watak bapa hinggalah lelaki miang semuanya berjaya ditangani dengan baik. Jika tidak masakan bakatnya itu mendapat pengiktirafan, anugerah pertama yang diterimanya adalah Pelakon Terbaik di Anugerah Sri Angkasa pada 1990, empat tahun kemudian, Allahyarham menjulang trofi Pelakon Drama TV Terbaik pada anugerah sama.

Kehadiran Allahyarham Shukery dalam dunia lakonan juga ternyata menjadi perhatian peminat mungkin kerana kekerapannya muncul di kaca televisyen. Oleh kerana kekerapan itu serta lakonan yang berkesan, dia menjadi pilihan peminat untuk menerima gelaran Pelakon TV Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 1995). Al-Fatihah. Semoga rohnya dicucuri rahmat.

'Kerajaan jangan terburu-buru'




Oleh MOHD. RAFIE AZIMI
rafie.azimi@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 10 Jun - Kalangan tokoh pendidik meminta kerajaan agar tidak bersikap terburu- buru dalam menentukan dasar pendidikan di samping menyelesaikan sesuatu isu secara satu per satu.

Rata-rata mereka berpendapat, cadangan mewajibkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lulus subjek Bahasa Inggeris (BI) perlu diperhalusi secara teliti selain dinilai dari pelbagai sudut.

Tokoh pendidik, Tan Sri Abdul Rahman Arshad berkata, penilaian untuk merealisasikan cadangan itu tidak hanya perlu dilihat dari sudut pelajar malah aspek perguruan.

"Taburan guru BI perlu dipastikan seimbang. Guru-guru yang mengajar terutama di luar bandar tidak boleh diambil sekadar tangkap muat tetapi mereka seharusnya fasih dan menguasai bahasa Inggeris sepenuhnya.

"Mengajar di bandar dan di luar bandar tidak sama. Di luar bandar, lebih banyak guru pemulihan diperlukan dan itu menuntut cara serta kebolehan mengajar yang tinggi," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meminta pandangan pelbagai pihak mengenai cadangan mewajibkan calon lulus mata BI sebagai syarat lulus SPM.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran turut meminta pandangan orang ramai berhubung pembelajaran Bahasa Inggeris yang tidak melibatkan tatabahasa tetapi hanya untuk berkomunikasi.

Mengenai kebaikan cadangan itu jika dilaksanakan, Abdul Rahman mengakui ia adalah lebih baik berbanding PPSMI.

Tambahnya, jika direalisasikan, ia memberi peluang yang sama rata kepada semua pelajar dari mana-mana aliran untuk mempelajari dan menggunakan bahasa Inggeris .

"Tidaklah seperti sekarang, pelajar aliran sains mendapat peluang lebih untuk mempelajari dan menggunakan bahasa Inggeris berbanding pelajar aliran sastera," jelasnya.

Seorang lagi tokoh pendidik, Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim menegaskan, cadangan itu hanya boleh dilaksanakan jika kerajaan menarik semula dasar PPSMI.

Menurutnya, sekiranya cadangan itu dilaksanakan tanpa memansuhkan PPSMI, para pelajar seakan didera dua kali dalam menuntut ilmu.

"Sekiranya cadangan itu mahu dilaksanakan, pastikan PPSMI ditarik semula. Jika tidak, ia akan menjadi sangat tidak adil kepada pelajar miskin di luar bandar dan ia seakan satu bentuk penderaan kepada mereka," katanya.

Sementara itu, pakar budaya yang juga Pengarah Institut Peradaban Melayu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Abdullah Hassan tidak bersetuju dengan cadangan itu.

Katanya, cadangan itu jika dilaksanakan bakal menafikan hak para pelajar yang lemah dalam BI terutama di luar bandar untuk menuntut ilmu ke tahap tertinggi.

"Buat masa ini, mereka yang lemah dalam BI berpeluang ke universiti dan di sana mereka mempunyai ruang yang lebih besar untuk memperbaiki penguasaan bahasa itu.

"Tetapi jika cadangan ini dilaksanakan, hasrat mereka ke universiti akan terbantut. Ia boleh dianggap sebagai sebahagian penafian hak mereka mendapatkan pengajian di peringkat tertinggi," jelasnya.

Suruh Cikgu Dulu Kuasai B.Inggeris..Baru Suruh Anak Murid...



SHAH ALAM – Tokoh akademik mahu tahap penguasaan Bahasa Inggeris oleh kebanyakan guru diberi tumpuan terlebih dahulu sebelum cadangan mewajibkan lulus mata pelajaran itu di peringkat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dilaksanakan.

Profesor Emeritus Dr Khoo Kay Kim berkata, penelitian dan kajian terperinci perlu dilakukan sebelum cadangan tersebut dilakukan memandangkan perkara itu dijangka bakal menjadi masalah utama dalam mejayakan cadangan tersebut.

“Masalah timbul apabila guru-guru tidak dapat menguasai Bahasa Inggeris dengan baik tetapi perlu mengajar dalam subjek itu, keadaan ini akan mendatangkan masalah lain kepada pelajar.

“Jika cadangan ini dilaks:anakan, pihak Kementerian seharusnya mengadakan latihan bagi guru-guru yang mengajar subjek ini atau memilih guru-guru yang pernah melanjutkan pelajaran di luar negara kerana mereka ini dapat berbahasa Inggeris dengan baik,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Emeritus Dr Nik Sapiah Karim pula berpendapat, dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI ) perlu ditarik semula bagi memberi masa sekurang-kurangnya setahun untuk guru menggunakan kaedah itu dalam mempraktikkan dan memahirkan penggunaan bahasa dalam pembelajaran.

“Saya berharap agar keputusan tidak dibuat secara mendadak memandangkan dasar PPSMI membawa mudarat kepada masyarakat luar bandar dan jika cadangan terbaru ini dilaksanakan ianya akan memudaratkan lagi pelajar berkenaa:n,” katanya.

Yang DiPertua Persidangan Kebangsaan Pengetua–Pengetua Sekolah Menengah, Azam Md Atan, mahu cadangan tersebut dikaji semula dan memberi tumpuan mencari mekanisme memperkasakan guru-guru dengan kemahiran berbahasa Inggeris terlebih dahulu.