ALOR SETAR 31 Mei - Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berpuas hati dengan pungutan zakat di negeri ini yang meningkat daripada RM15.7 juta pada 2000 kepada RM57 juta tahun lepas.
Baginda bertitah, usaha untuk meningkatkan kesedaran umat Islam mengenai tanggungjawab mereka terhadap zakat dan wakaf perlu dipertingkatkan.
"Beta menyeru kepada semua ketua jabatan agar memberi kerjasama kepada Jabatan Zakat Negeri Kedah dan Majlis Agama Islam Negeri untuk menyedarkan kakitangan masing-masing mengenai pembayaran zakat dan pemberian wakaf," titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Muktamar Peningkatan Pengurusan Wakaf dan Zakat di Dewan Sri Negeri di sini hari ini.
Baginda percaya dengan kerjasama oleh semua pihak, pungutan wang zakat dan wakaf dapat dipertingkatkan lagi untuk membolehkan orang ramai yang memerlukan bantuan menerima sumbangan daripada wang tersebut.
"Pengumpulan wang zakat dan wakaf secara berpusat seperti yang diamalkan di negeri ini membolehkan wang tersebut dibuat dengan lebih berkesan.
"Pengurusan sedemikian adalah selaras dengan pengurusan zakat pada zaman pemerintahan Nabi Muhammad SAW serta para sahabat," titah baginda.
Selain itu, baginda menyeru agar rakyat negeri Kedah agar memberi wakaf sebanyak mungkin untuk menjana kemajuan umat Islam dalam pelbagai bidang.
Titah baginda, walaupun bilangan pemilik tanah yang luas dalam kalangan umat Islam tidak lagi ramai seperti dahulu, namun umat Islam dapat meneruskan amalan wakaf melalui wakaf wang tunai.
"Semua umat Islam dapat mewaqafkan wang tunai mereka mengikut kemampuan masing-masing.
"Beta percaya Majlis Agama Islam Negeri Kedah dapat merangka satu pendekatan yang tersusun bagi meningkatkan kesedaran umat Islam untuk mewakafkan wang dan harta mereka ke jalan Allah," titah baginda.
Baginda yakin wang dan harta wakaf yang terkumpul dapat digunakan untuk memajukan sektor kebajikan, pembangunan prasarana serta ekonomi umat Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan