Khamis, 31 Mei 2012
Selepas dua tahun muncul, ahli Ikram diseru lipatgandakan usaha
BANDAR SERI PUTRA - Dua tahun selepas kemunculan di persada gerakan dakwah dan kepemimpinan masyarakat, ahli teras Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) diseru untuk melipatgandakan amal dan usaha, pengorbanan, jihad dan ijtihad untuk menegakkan Islam.
Presiden Ikram, Ustaz Dr Mohd Parid bin Sheikh Hj Ahmad mengajak ahli teras “membawa harapan yang akan terbuka luas, memudahkan usaha pembaikan, memacu umat bergerak ke hadapan, membangunkan keupayaan, merebut peluang membangunkan masa depan yang cemerlang, mengangkat negara maju ke hadapan, ummah ke arah kemuliaan, kemenangan dan kegemilangan sejarah, insya-Allah.”
Ustaz Dr Mohd Parid memberi penegasan ini ketika menyampaikan ucap utama bertajuk “Bergerak Ke Hadapan Merealisasikan Harapan” dalam Perhimpunan Ahli Teras (PAT) Ikram di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, di sini hari ini yang dihadiri oleh 902 ahli teras Ikram dari seluruh Malaysia.
PAT adalah perhimpunan tahunan khas untuk ahli teras bagi mendengar amanat tahunan Presiden selain platform bagi ahli teras bermuhasabah, berkongsi idea dan memperbaiki prestasi Ikram. PAT dilaksanakan bagi memenuhi tuntutan perlembagaan Ikram.
Presiden juga mengingatkan bahawa perubahan ini menuntut kita memperkemas tanzim dan gerak kerja dalaman dan kemudian bergerak di tengah-tengah medan di luar dalam pelbagai bidang.
Beliau memetik ayat 77 dan 78 surah al-Hajj:
"Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah, dan beribadatlah kepada Tuhan kamu, serta kerjakanlah amal-amal kebajikan, supaya kamu berjaya.
“Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya; Dialah yang memilih kamu; dan ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama, agama bapa kamu Ibrahim. Ia menamakan kamu 'orang-orang Islam' sejak dahulu dan dalam (al-Quran) ini, supaya Rasulullah menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang memberi keterangan kepada umat manusia.
Oleh itu, dirikanlah sembahyang dan berilah zakat serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dia lah Pelindung kamu. Maka (Allah yang demikian sifatnya), Dialah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi Pertolongan.”
Bagi menjana kejayaan Ikram dalam jangka masa empat tahun akan datang, Presiden mengemukakan sembilan inisiatif strategik yang berikut:
Pertama, membangunkan kesedaran umum masyarakat dan ummah di Malaysia yang akan menjadikan mereka celik Islam dan celik isu-isu semasa serta mendukung agenda Ikram ke arah pemulihan ummah, pembangunan masyarakat dan pembaikan pengurusan negara.
Presiden IKRAM memberi ucaputama semasa PAT 2012
Kedua, melipatgandakan usaha-usaha ke arah membangunkan dakwah dan penggerak perjuangan, barisan pelapis kepimpinan, ilmuan, duat dan murabbi seramai-ramainya daripada setiap lapisan generasi.
Ketiga, mempercepat kemunculan tokoh-tokoh pimpinan Ikram dalam arena kepemimpinan negara.
Keempat, meningkatkan dan merancakkan konstruktif (engagement) kita dengan ummah dan masyarakat majmuk di Malaysia.
Kelima, mempergiat usaha-usaha dakwah non-Muslim, memperkenalkan Islam yang benar dan menyeluruh kepada mereka.
Keenam, menggerakkan agenda politik, ekonomi, sosial bentuk baru dalam kehidupan ummah dan masyarakat Malaysia. Sistem-sistem baru dan budaya-budaya baru yang lain dari sistem-sistem dan budaya sedia ada.
Ketujuh, memanfaatkan teknologi media massa sepenuhnya bagi memperluas usaha dakwah dan pendidikan ummah dan masyarakat, menyebar luas pandangan Islam serta menjelaskan pendirian syariah berhadapan dengan semua isu kehidupan perseorangan, bermasyarakat dan bernegara.
Kelapan, penyedian dana yang cukup bagi menampung keperluan perjuangan yang meningkat dan berkembang pesat.
Kesembilan, penampilan ahli-ahli IKRAM yang ketara sebagai manusia contoh, role-model yang membayangkan susuk Pertubuhan Ikram Malaysia sendiri, sebagai sebaik-baik umat, dengan kelainan dan keistimewaan yang jelas, sebagai anggota yang memiliki peradaban, akidah yang benar, hala tuju hidup yang jelas serta akhlak yang mulia.
Para perwakilan yang hadir ke PATWA 2012
Ustaz Dr Mohd Parid dalam ucapannnya juga banyak menyentuh isu penambahbaikan organisasi, portfolio JKP, perancangan dan aktivii Ikram, pergolakan dalam negara dan perkembangan politik antarabangsa.
Akhirnya, selain memacu usaha pembaikan dan dakwah, Presiden juga mengingatkan ahli akan tanggungajawab mencegah kerosakan dalam masyarakat.
"Semoga kita (dapat) mengangkat kezaliman dari pundak-pundak rakyat yang teraniaya, kemiskinan dari bahu-bahu rakyat yang menderita, mengangkat penipuan tegar daripada sistem pilihan raya dan kemunduran dari laluan negara, berupaya menyingkirkan kelompok penguasa yang sudah lama hanyut dibuai nafsu dan keangkuhan, diperdaya golongan yang mengambil kesempatan.”
Seperti pada tahun lalu, PAT 2012 dikendalikan oleh Ikram Wilayah Persekutuan dengan sokongan dan kerjasama penuh daripada Ikram Selangor. Pengarah PAT 2012 ialah Profesor Dr Sahrim Hj Ahmad, YDP Ikram Wilayah Persekutuan.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan