Khamis, 31 Mei 2012

KITA ADALAH PEMIMPIN

BANDAR SERI PUTRA - Memilih tema yang tepat tatkala ummah dilanda pelbagai krisis kepemimpinan, dan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 yang akan memilih barisan pemimpin yang akan mengemudi negara, Ketua Wanita Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) menghuraikan dengan tegas dan berani erti kepemimpinan sebenar dan harapan yang tinggi kepada ahli-ahli teras wanita Ikram. Beliau menegaskan, wanita Ikram adalah pendakwah dan pendakwah adalah pemimpin dalam masyarakat. Wanita mesti mengambil tanggungjawab memimpin tanpa berhelah lagi. Satu peringatan yang menusuk minda, akal dan hati seluruh ahli teras wanita. “Tidak perlu diragui, tidak perlu melarikan diri dan tidak perlu berhelah lagi,” ujar Ustazah Maznah Daud dalam ucapan utamanya di Perhimpunan Ahli Teras Wanita Ikram (PATWA) Ke-2 di sini semalam. Seramai 360 orang ahli teras wanita Ikram dari negeri-negeri di seluruh Malaysia mendengar amanat Ketua Wanita Ikram ini dengan penuh tekun dan bersemangat. Ahli-ahli teras wanita ini adalah barisan pimpinan yang menjadi tulang belakang kepada pengoperasian seluruh usaha dakwah dalam masyarakat bagi sayap wanita Ikram. PATWA dilaksanakan sebagai satu keperluan undang-undang tubuh kepada sayap wanita Pertubuhan Ikram. Pada kali ini, PATWA diadakan di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangorn di sini. Sambil memetik ayat daripada surah al-Baqarah ayat 143, Ustazah Maznah mengingatkan ahli teras bahawa pendakwah telah ditunjuki Allah dengan jalan yang lurus yang menjadikan mereka umat pilihan. Dengan demikian, ia melayakkan mereka memberi keterangan kepada umat manusia tentang kebenaran. Sebagai pemimpin tempat ummah bergantung harap, Ketua Wanita mengingatkan ahli teras supaya memiliki wawasan dan sentiasa merujuk kepada Perancangan Ikram yang dibangunkan bersama dalam melaksanakan kepemimpinan. Para Peserta Wanita IKRAM semasa PATWA 2012 Seterusnya Ketua Wanita memberi empat ciri keunggulan yang perlu ada kepada ahli teras yang memimpin seperti mana yang Allah SWT ungkapkan dalam surah al-Maidah ayat 54 hingga 56. Ciri-ciri tersebut adalah menjadi golongan yang dikasihi Allah ; bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir; berjihad di jalan Allah dan tidak takut kepada celaan orang yang mencela; dan wala’ hanya kepada Allah, Rasul dan orang-orang yang beriman. “Inilah ciri-ciri yang mesti digarap oleh setiap ahli teras wanita Ikram agar perancangan yang disusun, wawasan yang dikejar dan hadaf yang dituju tidak terbengkalai begitu saja. Namun, ciri-ciri keunggulan yang dijanjikan kemenangan ini tidak akan terbina tanpa kefahaman, penghayatan dan pembinaan yang berterusan,” tegas beliau lagi. Mengakhiri ucapan, Ustaz Maznah mengajak para ahli untuk beramal bukan sekadar memahami. “Sesungguhnya segala perancangan, impian dan harapan akan tinggal terkurung di dalam dada atau terpahat di atas kertas selagi mana diri kita tidak bangkit untuk beramal demi mencapai impian dan melaksanakan perancangan tersebut. “Kehadiran kita ke PATWA pada hari yang bersejarah ini bukan hanya sekadar untuk berhimpun, bertanya khabar, mendengar ucapan, meneliti laporan, kemudian pulang. Kita berhimpun untuk saling mengingati, membaharui bai’ah dan janji, muhasabah dan koreksi diri. Tiada kelebihan bagi yang berucap dan yang mendengar ucapan kecuali dengan takwa dan amal.”

Selepas dua tahun muncul, ahli Ikram diseru lipatgandakan usaha

BANDAR SERI PUTRA - Dua tahun selepas kemunculan di persada gerakan dakwah dan kepemimpinan masyarakat, ahli teras Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) diseru untuk melipatgandakan amal dan usaha, pengorbanan, jihad dan ijtihad untuk menegakkan Islam. Presiden Ikram, Ustaz Dr Mohd Parid bin Sheikh Hj Ahmad mengajak ahli teras “membawa harapan yang akan terbuka luas, memudahkan usaha pembaikan, memacu umat bergerak ke hadapan, membangunkan keupayaan, merebut peluang membangunkan masa depan yang cemerlang, mengangkat negara maju ke hadapan, ummah ke arah kemuliaan, kemenangan dan kegemilangan sejarah, insya-Allah.” Ustaz Dr Mohd Parid memberi penegasan ini ketika menyampaikan ucap utama bertajuk “Bergerak Ke Hadapan Merealisasikan Harapan” dalam Perhimpunan Ahli Teras (PAT) Ikram di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, di sini hari ini yang dihadiri oleh 902 ahli teras Ikram dari seluruh Malaysia. PAT adalah perhimpunan tahunan khas untuk ahli teras bagi mendengar amanat tahunan Presiden selain platform bagi ahli teras bermuhasabah, berkongsi idea dan memperbaiki prestasi Ikram. PAT dilaksanakan bagi memenuhi tuntutan perlembagaan Ikram. Presiden juga mengingatkan bahawa perubahan ini menuntut kita memperkemas tanzim dan gerak kerja dalaman dan kemudian bergerak di tengah-tengah medan di luar dalam pelbagai bidang. Beliau memetik ayat 77 dan 78 surah al-Hajj: "Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah, dan beribadatlah kepada Tuhan kamu, serta kerjakanlah amal-amal kebajikan, supaya kamu berjaya. “Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya; Dialah yang memilih kamu; dan ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama, agama bapa kamu Ibrahim. Ia menamakan kamu 'orang-orang Islam' sejak dahulu dan dalam (al-Quran) ini, supaya Rasulullah menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang memberi keterangan kepada umat manusia. Oleh itu, dirikanlah sembahyang dan berilah zakat serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dia lah Pelindung kamu. Maka (Allah yang demikian sifatnya), Dialah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi Pertolongan.” Bagi menjana kejayaan Ikram dalam jangka masa empat tahun akan datang, Presiden mengemukakan sembilan inisiatif strategik yang berikut: Pertama, membangunkan kesedaran umum masyarakat dan ummah di Malaysia yang akan menjadikan mereka celik Islam dan celik isu-isu semasa serta mendukung agenda Ikram ke arah pemulihan ummah, pembangunan masyarakat dan pembaikan pengurusan negara. Presiden IKRAM memberi ucaputama semasa PAT 2012 Kedua, melipatgandakan usaha-usaha ke arah membangunkan dakwah dan penggerak perjuangan, barisan pelapis kepimpinan, ilmuan, duat dan murabbi seramai-ramainya daripada setiap lapisan generasi. Ketiga, mempercepat kemunculan tokoh-tokoh pimpinan Ikram dalam arena kepemimpinan negara. Keempat, meningkatkan dan merancakkan konstruktif (engagement) kita dengan ummah dan masyarakat majmuk di Malaysia. Kelima, mempergiat usaha-usaha dakwah non-Muslim, memperkenalkan Islam yang benar dan menyeluruh kepada mereka. Keenam, menggerakkan agenda politik, ekonomi, sosial bentuk baru dalam kehidupan ummah dan masyarakat Malaysia. Sistem-sistem baru dan budaya-budaya baru yang lain dari sistem-sistem dan budaya sedia ada. Ketujuh, memanfaatkan teknologi media massa sepenuhnya bagi memperluas usaha dakwah dan pendidikan ummah dan masyarakat, menyebar luas pandangan Islam serta menjelaskan pendirian syariah berhadapan dengan semua isu kehidupan perseorangan, bermasyarakat dan bernegara. Kelapan, penyedian dana yang cukup bagi menampung keperluan perjuangan yang meningkat dan berkembang pesat. Kesembilan, penampilan ahli-ahli IKRAM yang ketara sebagai manusia contoh, role-model yang membayangkan susuk Pertubuhan Ikram Malaysia sendiri, sebagai sebaik-baik umat, dengan kelainan dan keistimewaan yang jelas, sebagai anggota yang memiliki peradaban, akidah yang benar, hala tuju hidup yang jelas serta akhlak yang mulia. Para perwakilan yang hadir ke PATWA 2012 Ustaz Dr Mohd Parid dalam ucapannnya juga banyak menyentuh isu penambahbaikan organisasi, portfolio JKP, perancangan dan aktivii Ikram, pergolakan dalam negara dan perkembangan politik antarabangsa. Akhirnya, selain memacu usaha pembaikan dan dakwah, Presiden juga mengingatkan ahli akan tanggungajawab mencegah kerosakan dalam masyarakat. "Semoga kita (dapat) mengangkat kezaliman dari pundak-pundak rakyat yang teraniaya, kemiskinan dari bahu-bahu rakyat yang menderita, mengangkat penipuan tegar daripada sistem pilihan raya dan kemunduran dari laluan negara, berupaya menyingkirkan kelompok penguasa yang sudah lama hanyut dibuai nafsu dan keangkuhan, diperdaya golongan yang mengambil kesempatan.” Seperti pada tahun lalu, PAT 2012 dikendalikan oleh Ikram Wilayah Persekutuan dengan sokongan dan kerjasama penuh daripada Ikram Selangor. Pengarah PAT 2012 ialah Profesor Dr Sahrim Hj Ahmad, YDP Ikram Wilayah Persekutuan.

WAWANCARA DENGAN ISTERI BAKAL PRESIDEN MESIR

Semakin besar harapan Dr. Muhammad Mursi untuk meraih kemenangan dalam pilihanraya presiden pertama secara bebas di Mesir, semakin ramai orang yang berminat untuk mengetahui tentang isteri beliau di mana beliau dalam sebuah wawancara di salah sebuah stesen televisyen menyebut bahwa isterinya banyak memberi pengaruh terhadap prestasi besar yang diraih dalam kehidupannya dan sangat berperanan baginya untuk mewujudkan berbagai kejayaan sehingga mendapatkan sokongan rakyat bagi dicalonkan untuk menjadi presiden Mesir. Nama isteri beliau adalah Najla Mahmud. Dilahirkan pada tahun 1962 di desa Ain Syams, timur Kaherah. Setelah berkahwin, dia ikut suaminya tinggal di Amerika Syarikat ketika suaminya hendak menyelesaikan program doktor falsafahnya di sana. Kini keduanya menetap di Kaherah. Berikut adalah wawancaranya dengan media Ikhwanonline.net Dr. Mursi menyatakan dalam beberapa kali wawancara bahwa anda adalah penasihat khususnya. Apakah dia minta nasihat anda sebelum dilantik menjadi calon presiden. Apa reaksi anda dan anak-anak anda ketika itu? Tentu sahaja, sebelumnya tidak ada di antara kami yang terfikir akan isu pencalonan presiden beliau, apalagi Jamaah Ikhwanul Muslimin dan Parti Kebebasan dan Keadilan pada mulanya menetapkan untuk tidak menaikkan sesiapapun dari mereka untuk dicalonkan sebagai presiden. Namun keputusan berubah apabila parti dan jamaah telah mengangkat Khairat Syatir untuk maju dalam pemilihan presiden. Kami sudah cukup gembira ketika itu, Allah telah membebaskan kami dari tanggungjawab berat tersebut sambil kami tetap akan mengerahkan segala potensi dan kekuatan untuk menjayakan program tersebut, tetapi dalam kedudukan sebagai 'perajurit' bukan kerana ingin ke depan. Namun oleh kerana jamaah dan parti bekerja berdasarkan sistem dan mereka meramalkan akan berlaku permainan dan muslihat politik, maka perkara tersebut menjadi alasan untuk mengetengahkan suami saya Dr. Muhammad Mursi untuk menunaikan tugas dan projek ini jika ternyata Ir. Khairat benar-benar dilarang. Ketika penolakan terhadap Syatir benar-benar berlaku, perkara tersebut semakin menguatkan bahwa kita bekerja bukan kerana jawatan, tetapi berjuang kerana Allah Ta'ala. Buktinya Syatir menerima keputusan penolakan terhadap dirinya dan berjuang bersungguh-sungguh untuk berkempen bagi pihak Dr. Mursi. Apakah anda merasa tersinggung dengan julukan sebahagian orang yang mengatakan bahwa Dr. Mursi adalah 'Tayar Ganti'? Sama sekali tidak, kerana pemilihan tersebut bukan menunjukkan urutan keutamaan. Ertinya bahwa keduanya adalah layak, sedangkan pengganti tidak semestinya lebih lemah. Istilah 'tayar ganti' adalah bahasa media, sedangkan jamaah tidak memilihnya untuk menjadi 'tayar ganti', akan tetapi untuk menghadapi muslihat dan permainan politik. Bagaimana keluarga menghadapi keputusan jamaah yang menetapkan Dr. Mursi sebagai calon presiden? Meskipun tabiat manusia pada umumnya tidak menyukai ujian, tetapi kami menyambutnya dengan cinta, ridha dan qanaah. Kami semuanya sepakat dengan keputusan jamaah tetapi pada awalnya, ketika mereka mengajukan tawaran pencalonan presiden terhadap Dr. Mursi bersama Ir. Khairat Syatir, kami berdua merasa sangat khuatir akan mengalami berbagai perancangan jahat maka saya katakan kepadanya, "Mengapa engkau menerima perkara tersebut berlaku pada Ir. Khairat Syatir sedangkan engkau tidak bersedia menerimanya pada dirimu?" Hal ini bukan bererti kami tidak boleh risau, bagaimanapun kami sebagai manusia apalagi keputusan diambil dalam waktu yang sangat singkat. Kesimpulannya, kami akan sokong setiap calon dari Ikhwan, apakah dia Dr. Mursi atau Syatir atau lainnya, dengan segenap kemampuan yang kami miliki, samada berupa ucapan mahupun gerakan hingga ke akhirnya. Apakah anda tidak khuatir akibat yang perlu anda bayar beserta keluarga dari pencalonan ini? Kami sudah benar-benar sedari apakah risiko yang akan kami tanggung, tetapi semua itu menjadi ringan jika dibandingkan dengan apa yang akan kami berikan kerana Allah dan umat ini. Demikianlah kami belajar dari Jamaah Ikhwan, bahwa kemaslahatan umat didahulukan dari kemaslahatan peribadi. Oleh yang demikian, kami bersedia menanggung berbagai risiko dengan kurnia Allah, 'Siapa yang berjuang kerana Allah, akan diberikan keteguhan saat menghadapi ujian.' Apa yang anda ketahui tentang karakteristik seorang ketua negara yang terdapat pada Dr. Mursi? Dr. Muhammad adalah seorang ahli politik yang matang. Walaupun dalam kesibukannya, beliau sentiasa memberi perhatian terhadap berbagai perkembangan dan masukan serta analisa yang beraneka ragam. Dari hari ke hari saya melihat sifat-sifat kenegarawanannya semakin tumbuh untuk memikul jawatan sebagai Ketua Negara. Ditambah pula dengan bakat kepimpinan dan pentadbiran dengan semangat tinggi serta kesetiaan yang besar terhadap negara dan rakyatnya. Itu semua diraih berkat kesungguhan dan kemahuan kuat untuk meraih prestasi demi prestasi seraya memohon pertolongan kepada Allah, sabar menghadapi ujian dan pengendalian diri ketika mengalami peristiwa besar dan merenung untuk mendapatkan penyelesaian terbaik agar dapat keluar dari berbagai krisis dalam keadaan terbaik. Dr. Mursi sering menyatakan bahwa anda merupakan prestasi terbesar yang diraihnya dalam hidup. Bagaimana komentar anda? Ini semua merupakan kurniaan dari Allah terhadap keluarga kami yang diberikan nikmat berupa taufiq, cinta dan kasih sayang. Dr. Muhammad sebagaimana orang Mesir katakan adalah 'orang hebat, anak dari orang-orang hebat'. Dia selalu mengenang perjuangan saya ketika saya mengikutinya ke Amerika setahun setengah setelah perkahwinan kami di Mesir. Ketika itu dia sedang menyelesaikan program PHDnya. Ketika itu saya mengerahkan segenap kemampuan untuk membantunya dalam menyelesaikan tugas dan meraih prestasi terbaik. Meskipun misi tersebut sangat berat, kami tetap rajin berdakwah sebelum akhirnya kami meninggalkan berbagai tawaran Amerika yang menggiurkan untuk kemudian kami pulang ke negara kami agar dapat mempersembahkan segenap kesungguhan kepada negara kami. Inilah yang kami utamakan. Di sini kami melalui kehidupan yang sangat berat, berupa ugutan rejim lama, kezaliman, penahanan serta berbagai ancaman lain. Namun, Allah telah memberikan kami kurniaan kesabaran, keteguhan dan kejayaan atas kemurahan dan kurniaNya. Pelajaran apa yang diperolehi oleh keluarga Mursi dari pengalaman pilihanraya sebelumnya? Pada pilihanraya tahun 1995 yang diselenggarakan tanpa kehadiran pengawasan dari mahkamah serta kemungkinan berlakunya berbagai penipuan, kami dapat belajar dari Dr. Mursi bahwa seseorang perlu mengerahkan segala usahanya terlebih dahulu, sedangkan hasilnya ada di sisi Allah. Sedangkan jamaah memiliki matlamat yang sangat banyak yang ingin diwujudkan bagi umat ini. Di antaranya adalah keberadaan mereka di kerusi parlimen. Oleh kerana itu, jamaah mendorong setiap anggotanya agar mendampingi rakyat dan sentiasa berkomunikasi dengan mereka. Yang kedua kami belajar darinya bagaimana menghormati keputusan jamaah. Ketika jamaah memintanya untuk diajukan sebagai calon pada pilihanraya tahun 2000, beliau tetap menerimanya walaupun baru sembuh dari sakit ketika itu. Beliau tidak pernah menolak permintaan Ikhwan. Ketika itu saya merasa berat, kerana saya tahu bahwa rejim lama tidak akan membiarkan keberadaannya di kerusi parlimen. Banyak keluarga anggota parlimen yang mendapatkan kemudahan istimewa. Bagaimana keadaan keluarga Mursi ketika dia duduk di kerusi parlimen selama 5 tahun? Selain berharap pahala dari Allah, tidak ada kemudahan yang kami dapatkan selain gangguan dan ancaman kerana dia merupakan tokoh dan anggota parlimen yang paling kehadapan. Anak saya, Ahmad, lebih dari sekali ditahan sebagai usaha ugutan terhadap bapanya agar tidak lagi mencalonkan diri pada pilihanraya berikutnya. Begitu juga saudaranya, Usamah, sempat ditahan, dicolek pada malam hari oleh pihak unit khas dan mendapatkan perlakuan yang kasar, ketika itu beliau sedang menuju ke masjid untuk menemui saudaranya. Ini ditambah pula dengan berbagai isu lain yang dikaitkan dan sering disebarluaskan. Di antaranya isu bahwa dia melantik anak perempuannya sebagai dekan, padahal dia sendiri dalam kumpulannya yang disingkirkan. Perlantikannya berlaku semata-mata kerana sebuah peristiwa. Serangan media akhbar sangat keras terhadap calon dari Parti Kebebasan dan Keadilan. Apakah anda tidak khuatir? Sejauh mana pengaruhnya pada keluarga anda? Allah Azza wa Jalla sentiasa menggagalkan setiap usaha yang dikerahkan untuk mencari aib seseorang. Media di sini memang terkenal zalim dan telah hilang kredibilitinya, mereka sering memihak dan mencipta isu-isu. Hingga kini saya belum dapat mengembalikan kepercayaan terhadap akhbar Mesir kerana seringkali mereka menyebar berita bohong tentang keluarga kami. Meskipun demikian, saya masih merasakan kemuliaan Islam dan semakin menambah keyakinan saya bahwa saya berada di jalan yang benar kerana saya benar-benar yakin terhadap program Ikhwanul Muslimin. Bagi mereka yang mengamati sirah dengan baik, akan mengetahui bahwa beginilah sunnatullah, bahkan para rasulpun menghadapi berbagai ujian. Dan hal ini akan semakin menambah kekuatan bagi kami. Tersebar isu bahwa Dr. Mursi melarang anda untuk meneruskan kuliah. Apakah perkara itu benar? Saya pergi ke Amerika setelah saya menyelesaikan pendidikan menengah atas. Di sana saya belajar bahasa Inggeris secara khusus. Setelah itu saya bekerja tanpa gaji sebagai penterjemah secara langsung bagi para wanita muallaf Amerika dalam pengajian mereka di Bait Thalib Muslim di Los Angeles. Pada mulanya setelah kembali dari Amerika saya berniat untuk meneruskan kuliah, tapi akhirnya saya lebih memilih untuk sepenuh masa dalam mendidik anak-anak saya. Akhirnya saya dan anak-anak dapat menyelesaikan hafalan Al-Qur’an. Saya memberikan mereka pelajaran hingga sekolah menengah atas. Dari sinilah saya mulai melakukan aktiviti dakwah bersama jamaah Ikhwan. Itulah pekerjaan saya. Adapun Dr. Muhammad, tidak pernah melarang saya untuk meneruskan pelajaran dan tidak melakukan campur tangan dalam masalah ini. Justeru sebaliknya, apabila saya memintanya untuk memperkukuhkan kembali kemampuan bahasa Inggeris saya, dia memberi memotivasi kepada saya. Mendapatkan kewarganegaraan Amerika adalah mimpi bagi orang yang bekerja dan tinggal di sana. Apakah anda pernah berusaha untuk mendapatkannya? Sebagaimana yang diketahui bahwa undang-undang Amerika menetapkan bahwa sesiapa yang dilahirkan di negara Amerika akan mendapatkan kewarganegaraan Amerika. Inilah yang berlaku kepada kedua anak kami, Ahmad dan Syaima. Adapun saya dan Doktor, sebenarnya mudah sekali bagi kami untuk mendapatkan kewarganegaraan tersebut, akan tetapi tidak selangkahpun yang kami tempuhi untuk itu. Saya cabar sesiapa sahaja yang dapat menghadirkan bukti bertulis yang menunjukkan bahwa kami adalah warganegara Amerika. Oleh kerana itulah kami dapat membantah orang-orang yang menuduh kami dalam masalah ini, kerana mereka tidak mendapatkan satu bukti pun. Apakah anak-anak anda memanfaatkan kewarganegaraan Amerika mereka? Kewarganegaraan anak-anak tidak kami gunakan sama sekali. Ketika Ahmad dipenjara, salah seorang aktivis kemanusiaan menasihatinya agar menghubungi kedutaan Amerika, mereka akan mengatur proses pembebasannya sekarang juga. Maka dia terus menjawab, "Saya adalah warga Mesir, hidup di negara Mesir dan akan memilih Mesir." Itu pula yang dijawab oleh Mursi, meskipun dia tidak mendengar ucapan Ahmad. Dia berkata, "Anak saya adalah warga Mesir, apa yang berlaku pada teman-temannya, berlaku pula padanya. Saya tidak akan minta tolong dengan institusi di luar Mesir untuk campur tangan dalam urusan dalaman negara Mesir walaupun mereka bertindak zalim kepada kami." Mengapa Dr. Mursi memutuskan untuk menamatkan urusan pelajarannya di Amerika Syarikat dan kembali ke Mesir? Ketika Doktor menyelesaikan masa kuliahnya di sana, yang selalu terbayang dalam fikirannya adalah bagaimana memberikan manfaat kepada masyarakatnya dari ilmu yang dia raih, apalagi dia menghendaki untuk kembali ketika anak-anaknya masih dalam masa pertumbuhan agar mereka terdidik di sana. Ketika kami kembali, Ahmad masih berusia 4 setengah tahun sedangkan Syaima berusia 2 setengah tahun. Setelah itu kami tidak pernah mengunjungi Amerika lagi. Kami tinggalkan Universiti Amerika yang menawarkan berbagai macam tawaran. Lalu beliau kembali ke Universiti Zagazig yang ketika itu masih dalam peringkat permulaan. Apakah anda tidak menolak keputusan tersebut? Pada mulanya saya menentangnya, khususnya anak-anak ketika itu masih dalam usia yang tidak perlu dikhuatirkan. Apalagi saya tahu bahwa Doktor ketika itu sangat menyukai pelajaran dan melakukan kajian di mana segala kemudahan tersedia di Amerika. Namun ketika itu dia menjawab bahwa dia ingin agar permulaan pertumbuhan anak-anaknya seperti anak-anak di negaranya. Bagaimana menurut anda peranan isteri bagi seorang Presiden setelah revolusi? Saya ingin tetap berada di tengah-tengah masyarakat, hidup seperti mereka hidup dan mendengarkan keluh kesah mereka sepertimana perkataan Sayyidina Umar, "Seandainya ada seekor keledai tersesat di Irak, niscaya saya akan ditanya oleh Allah." Bagaimana halnya dengan manusia yang tidak mendapatkan segelas air bersih atau tidak mempunyai pembiayaan untuk berubat?! Ada masyarakat yang masih hidup di bawah paras kemiskinan. Merekalah kelompok pertama yang akan menjadi perhatian saya dalam ruang lingkup sosial di luar institusi dan itulah yang selama ini saya ceburi dalam bidang sosial selama sekian tahun di sektor wanita dalam jamaah Ikhwan. Bagaimana dengan kegiatan dakwah anda? Saya akan tetap berdakwah dan tidak mungkin saya tinggalkan kerana inilah hidup saya selama 30 tahun. Apakah anda pernah mengimpikan menjadi wanita nombor satu di Mesir? Bagaimana perasaan anda sekarang? Julukan itu saya tolak sama sekali. Julukan itu berlaku untuk Jihan Sadat dan Suzan Mubarak di mana kedua-duanya ikut campur tangan dalam segala urusan samada politik atau ekonomi. Islam mengajarkan bahwa Presiden Mesir berikutnya adalah pelayan Mesir nombor satu, maka itu ertinya bahwa isterinya juga adalah merupakan pelayan wanita Mesir nombor satu. Setelah sekian tahun hidup dalam kezaliman yang dialami oleh keluarga Dr. Mursi, apa yang anda rasakan ketika menyaksikan kejatuhan diktator Mubarak? Ketika itu saya ingat firman Allah Ta'ala, "Katakanlah, Ya Allah pemilik segala kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada siapa yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari siapa yang Engkau kehendaki." (QS Ali Imran : 26) Darinya kami mengambil pelajaran bahwa kekuasaan tidak akan berterusan pada seseorang. Dan kekuasaan, jika Allah kehendaki berakhir, maka Dia akan mencabutnya, setelah Dia memberinya dengan mudah, disamping hal itu merupakan kehendak rakyat yang telah dizalimi selama masa kekuasaan diktator, agar hati mereka senang. Khususnya Khairat Syatir dan Hasan Malik yang terlambat dibebaskan. Ketika saya melihat pemimpin yang digulingkan itu berada di atas katilnya di ruang tertuduh, dengan berbagai usaha peguam untuk menyembunyikannya dari pandangan, saya ingat bagaimana Khairat Syatir dahulu ketika di sidang perbicaraan dengan kepala tegak. Semua itu memberikan keyakinan pada saya bahwa pertolongan Allah itu pasti datang. Bila anda akan mengatakan kepada Dr. Muhamad Mursi, 'Cukup sudah kerja anda sampai di sini?" Saya tidak akan mengatakan kepada doktor, 'Cukuplah kerja anda sampai di sini' kerana Islam mengajarkan kepada kami untuk sentiasa beramal hingga akhir kesempatan. Ini disebabkan kami beramal kerana Allah. Saya tidak dapat melihat Dr. Mursi tidak beramal. Apabila itu berlaku, justeru saya merasa ada yang aneh padanya. Sebagai penutup, apa yang ingin anda katakan kepada suami anda? Semoga Allah menolongmu memikul tanggungjawab ini dan memberimu keteguhan dan keridhaan serta menjadikan kami sebagai penolongmu di jalan tersebut. Ya Allah, tetapkanlah kaki kami di jalan dakwahMu dan berikanlah kami sifat istiqamah beramal untuk melaksanakan segala tuntutan dan perintahMu. Kurniakanlah kemenangan kepada golongan mukminin yang sebenar sehingga syariatMu akan tertegak semula di bumi Mesir dan di bumi-bumi lain di seluruh dunia sehingga kalimahMu tegak berdiri dan memayungi setiap insan di dunia bagi merealisasikan “Rahmatan Lil Alameen”.