Oleh : Mohd Yusni Khusaini Dato’ Mohd Yussof ( Penulis adalah editor Demi Masa, akhbar bulanan ABIM)
Pada awal dekad 90-an yang lalu, majalah Dewan Masyarakat pernah menyiarkan hasil dapatan sebuah kajian tentang tabiat membaca rakyat Malaysia yang mendedahkan tentang purata bilangan muka surat yang dibaca oleh rakyat negara ini dalam tempoh setahun, iaitu hanya sekadar sehelai muka surat. Dapatan kajian yang dikeluarkan oleh
Jabatan Perangkaan Negara ini jelas sekali mengejutkan, malah pada hari ini terdapat pula pandangan yang mempertikaikan hasil kajian tersebut. Adalah terlalu memalukan sekiranya dapatan kajian tersebut adalah benar.
Walau bagaimanapun, sememangnya tabiat membaca rakyat negara ini perlu diperkukuh dan dimantapkan lagi. Kita sewajarnya mengucapkan tahniah dan mencontohi usaha-usaha yang dilakukan oleh individu-individu seperti Sharom TM Sulaiman dan Saudara Sayed Munawar yang terus-menerus cuba membudayakan amalan membaca menerusi media masa sama ada menerusi saluran akhbar mahupun siaran televisyen media arus perdana seperti RTM.
Kepada kelompok pencinta buku, sewajarnya gambaran stereotaip yang mengaitkan pencinta buku sebagai nerd mahupun manusia yang berkaca mata tebal dan memiliki gaya hidup yang membosankan perlulah dihapuskan sama sekali. Sebaliknya, gambaran yang sewajarnya ditanam ke dalam minda rakyat Malaysia adalah membaca akan meluaskan ufuk pemikiran, membolehkan kita mengetahui banyak perkara,menjadikan personaliti kita lebih menarik, menajamkan minda dan jambatan untuk kita lebih ke hadapan dalam hidup. Penganjuran Pesta Buku Antarabangsa di Kuala Lumpur pada tahun ini sekali lagi membuktikan komitmen para pengusaha industri buku untuk mengetengahkan
karya-karya tempatan.
Rakyat Malaysia jelas sekali memanfaatkan penganjuran ini dengan berpusu-pusu
mengunjunginya untuk mendapatkan buku-buku dengan harga yang lebih rendah. Namun begitu, kepada pencinta buku yang melazimi kunjungan ke Kinokuniya, MPH, The Times, The Borders, Silver Fish Book Shop mahupun pelbagai toko buku di sepanjang jalan Tuanku Abdul Rahman, barangkali penganjuran temasya buku seperti KLIBF ini tidaklah banyak bezanya. Toko-toko buku yang telah disebutkan tetap menjadi pilihan dari semasa ke semasa kerana menawarkan pilihan buku dari pelbagai bidang. Tentang perihal harga, kepada kelompok pencinta buku bukanlah perkara yang besar.
Mereka lazimnya tetap sanggup berbelanja sedikit atau banyak, hatta ke tahap mengikat perut mahupun mengorbankan gaya semata-mata untuk membeli buku yang baik.
Seperkara yang lebih penting daripada pembelian buku adalah usaha untuk membaca dan memahaminya. Saya cenderung untuk mengetengahkan hal ini kerana terdapat kecenderungan untuk ramai di kalangan kita untuk ghairah membeli buku tetapi tidak pula ghairah untuk membaca, menekuni, mengkritik kandungan malah membincangkannya.
Akhirnya, buku yang dibeli sekadar menjadi bahan perhiasan di rak-rak buku dan mungkin akan dimakan sang anai-anai atau kulat. Oleh itu, kita perlu membudayakan amalan membeli buku dan membacanya, bukan sekadar membeli sematamata.
Prof. Allan Bloom di dalam buku The Closing of American Mind (1987) mendedahkan suatu fenomena yang telah melanda generasi pelajar universiti di Amerika Syarikat yang sewajarnya perlu dijadikan iktibar kepada semua rakyat Malaysia, khususnya generasi muda. Menurutnya, berbeza dengan kelompok pelajar daripada Eropah, generasi pelajar di Amerika memasuki universiti dengan keadaan memiliki minda yang kosong, digambarkan dengan ungkapan the clean slate kerana minda mereka lazimnya tidak diperkukuh dahulu oleh mana-mana karya besar penulis dunia Barat. Jika dibandingkan dengan para pelajar dari Perancis sebagai contoh, minda mereka terlebih dahulu telah diperkaya oleh karya-karya Nietzsche, Russuoue, Descartes dan sebagainya. Kehadiran para pelajar yang sudahpun terdedah dengan pembacaan karya-karya besar ini ke universiti pada hakikatnya membantu menjadikan usaha pembelajaran mereka
lebih terarah.
Mereka akan terus mencari dan memperdalam pengetahuan asas ini, berbeza dengan pelajar Amerika yang sebaliknya lebih bersifat mencari arah dan haluan di universiti. Seharusnya, kita juga mengemukakan persoalan yang sama kepada generasi muda negara ini. Adakah mereka mencintai dan dipengaruhi oleh mana-mana karya penulis
besar di negara ini? Seandainya karya-karya seperti Sejarah Melayu, Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Hang Tuah mahupun Hikayat Tamim Ad Dhari dianggap terlalu berat kepada mereka, adakah karya-karya A Samad Said, Arenawati, Faisal Tehrani atau Usman Awang mampu menjadi karya yang meninggalkan kesan kepada mereka?
Mudah-mudahan
semua yang dilontarkan ini tidak ditanggapi sebagai sesuatu yang terlalu idealistik.
Seringkali juga dipersoalkan tentang persoalan pelajar di universiti yang dikatakan tidak membeli buku-buku teks yang original, sebaliknya selesa dengan buku-buku yang disalin atau difotokopi. Saya yakin isu yang lebih penting dalam konteks ini bukanlah tentang memiliki buku teks sebagai bukti bahawa mahasiswa itu membaca, sebaliknya isu yang sebenar adalah mahasiswa perlu mencapah pembacaannya. Mereka sewajarnya berani untuk membaca buku-buku di luar bidang pengajian mereka untuk mendapatkan minda yang lebih matang dan mampu menggarap pelbagai isu dengan lebih menyeluruh. Kita tidak mahu generasi mahasiswa terperangkap di dalam bidang masing-masing yang akhirnya membuktikan bahawa universiti hanya bertindak sebagai digital mills atau kilang penghasilan pekerja. Universiti sewajarnya menjadi kilang penghasilan manusia yang tajam pemikiran, berjiwa besar, memiliki idealisme, sanggup
bekerja dan berjuang untuk menjadikan dunia ini sebuah tempat yang lebih baik.
Bagi sesebuah keluarga, usaha untuk mewujudkan sebuah perpustakaan keluarga di rumah perlulah mendapat perhatian yang serius, seserius usaha untuk menyediakan komputer, flat tv, ruang karaoke untuk keluarga, siaran Astro mahupun sistem hiburan rumah. Ibu bapa perlu mendidik anak-anak dengan tabiat membaca melalui pembelian bukubuku
secara konsisten dan membawa anak-anak ke perpustakaan awam yang berdekatan agar tabiat membaca terasuh ke dalam diri mereka. Kepada individu-individu yang sudahpun memiliki budaya membaca yang baik, langkah seterusnya adalah untuk terus
meningkatkan usaha pembacaan kita ke tahap yang lebih serius. Antara yang perlu diusahakan adalah mewujudkan kumpulan-kumpulan perbincangan ( usrah barangkali? ) yang serius membedah dan mengkaji kandungan buku-buku yang dipilih. Laman-laman blog juga boleh dijadikan ruang untuk kita berkongsi pandangan terhadap buku-buku yang
telah dibaca.
Kebiasaannya, ramai yang beranggapan bahawa usaha membincangkan kandungan buku-buku yang baik dan berkualiti adalah penuh kesukaran dan ‘terlalu tinggi’. Sememangnya usaha membaca, memahami apa yang dibaca dan menggarapnya sebagai ilmu adalah tidak mudah dan akan mencabar minda. Namun begitu, umum mengetahui bahawa aktiviti membaca, memahami, berfikir dan membincangkan hasil pembacaan itu adalah usaha yang akan meransang penggunaan akal dan minda yang dianugerahi Illahi. Meransang minda dengan aktiviti berfikir itu adalah satu santapan minda yang boleh membantu menjauhkan risiko dihinggapi penyakit alzheimer ( atau lebih dikenali sebagai gejala kenyanyukan!) Sebagaimana yang sering dinyatakan, orang yang berjiwa kerdil sering bercakap tentang perihal orang lain manakala insan yang berjiwa besar pula akan lebih bercakap tentang idea. Untuk mendapatkan idea yang baru, tidak dapat tidak, kita haruslah membaca. Membaca pula bukanlah bererti membaca seadanya, tetapi pembacaan kita perlulah mampu meransang dan menggerakkan minda kita untuk berfikir dan mencari jalan penyelesaian terhadap pelbagai permasalahan dunia.
Minda Madani Online
http://
Tiada ulasan:
Catat Ulasan