Jumaat, 30 April 2010

KHUTBAH JUMAAT

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.

Apa yang membezakan manusia dan malaikat adalah pada kemampuan manusia membuat pilihan. Keupayaannya untuk memilih kebaikan dan dalam masa yang sama menolak kejahatan, menjadikan manusia itu sentiasa berusaha menjadi lebih baik, dan memindahkan kebaikan itu kepada kehidupan di sekitarnya.
Semasa memilih kebaikan, dia mendapat kebaikan.
Semasa terpilih kejahatan, usahanya untuk kembali kepada kebaikan menjadikannya kembali baik malah bertambah baik.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’aala:

Demi diri manusia dan yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan Yang sesuai Dengan keadaannya). Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa; Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya bersih (dengan iman dan amal kebajikan), dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat) [Al-Shams 91: 7-10]

Setiap hari kita membuat keputusan. Semasa mendengar azan subuh, kita membuat pilihan pertama sama ada mahu bangun atau tidur kembali. Memilih baju, memilih kasut, memilih sarapan, dan memilih jalan. Pilihan-pilihan itulah tempat Allah menilai kita. Pilihan yang baik mengundang kebaikan. Pilihan yang jahat mengundang sesal lagi mudarat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Bagaimanakah pilihan-pilihan kita setakat ini?
Pilihan semasa hidup susah.
Pilihan semasa hidup senang.
Semasa susah kita tiada banyak pilihan.
Semasa senang, kita diuji dengan banyaknya pilihan. Antara Halal dan Haram, antara Kufur dan Iman.
Merujuk kepada kisah Nabi Allah Yusuf alayhi al-Salaam, baginda berada di dalam ujian yang berat semasa terkurung dalam buangan di lubang telaga akibat konspirasi adik beradiknya. Bayangkan, seorang budak, terpisah daripada ibu bapanya, terbuang ke telaga buta, siang dan malam dalam kegelapan dan sendirian, apakah ada yang lebih teruk untuk dialami oleh seorang budak seperti Yusuf?
Tetapi semasa di dalam telaga, Yusuf tiada banyak pilihan. Bersabar adalah satu-satunya cara untuk baginda bertahan. Baginda terpaksa bertahan. Terpaksa bersabar. Itu sahaja pilihan yang ada.
Akan tetapi, ujian yang menjadikan Yusuf seorang insan pilihan Allah yang begitu hebat adalah semasa baginda di istana Mesir.
Di dalam telaga, Yusuf diuji.
Di dalam istana, Yusuf masih juga diuji.
Hidup adalah ujian.

Firman Allah:

“Dan perempuan yang Yusuf tinggal di rumahnya, bersungguh-sungguh memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya; dan perempuan itu pun menutup pintu-pintu serta berkata: “Marilah ke mari, aku bersedia untukmu”. Yusuf menjawab: “aku berlindung kepada Allah (dari perbuatan yang keji itu); Sesungguhnya Tuhanku telah memuliharaku dengan sebaik-baiknya; sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya” [Yusuf 12: 23]
Benar!
Itulah saat paling genting buat Yusuf.
Diuji dengan pilihan.
Wanita bangsawan yang selama ini menjadi ibu angkatnya, menyerahkan diri untuk dijamah dengan zina. Sedangkan Yusuf ada banyak peluang. Beliau adalah anak asing di bumi Mesir. Tiada ibu bapa, tiada adik beradik dan saudara mara, tiada muka yang bakal diconteng arang!
Saat itu, Yusuf diuji, menerima zina yang enak untuk sebuah kecenderungan nafsu, atau menolaknya dengan kuasa Iman.
“Datanglah kepadaku” kata wanita yang digelar Zulaikha itu.
“Aku berlindung dengan Allah!” itulah jawapan Yusuf.
Engkau selama ini adalah ibu angkatku, engkau memberiku bumbung untuk berteduh, engkau memberiku lantai tempat bersantai, engkau memberiku makan dan minum, engkau tuanku tetapi ALLAH adalah TUHANKU!
Sesungguhnya Dia telah melindungiku selama ini, dan tidak akan berjaya orang-orang yang zalim!
Itulah penegasan Yusuf. Baginda berjaya dalam ujian pilihannya. Memilih untuk menolak zina, semata-mata kerana IMAN.

Sidang Jumaat sekalian,
Ramai di kalangan kita yang bertahan dalam ujian kesusahan.
Tetapi bagaimana dengan ujian kesenangan?
Hari ini, anak-anak muda di Universiti boleh mendapat wang secara mudah melalui pilihan zina. Menyerah diri menjadi pelayan seks kepada manusia-manusia keji yang berwang, membolehkan mereka mengatasi masalah kekurangan wang pinjaman, memakai telefon bimbit mewah, menukar motorsikal kepada kereta dan memakai pakaian berjenama, hanya dengan berkata YA kepada peluang yang terbentang di depan mata. Buat kerja paling sedap, dapat hasil paling mantap!

Daripada Ibn Masoud radhiyallahu ‘anhu beliau berkata: Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda: Sesungguhnya di antara perkara yang diketahui oleh sekalian manusia daripada kalam nukilan Kenabian ialah: Jika kamu sudah tiada rasa malu, maka buat sahajalah apa yang kamu suka! [Hadith riwayat al-Bukhari]
Malu yang datang dari Iman.
Namun, apakah caranya untuk anak-anak muda kita memiliki keyakinan seperti Yusuf? Keyakinan bahawa Allah tidak akan sekali-kali memberi kejayaan hidup kepada manusia yang zalim. Keyakinan untuk berkata TIDAK kepada ZINA!
Jauh dari keluarga, seperti jauhnya Yusuf dari bumi Palestin, bagaimanakah anak perantau di Menara Gading boleh menolak zina yang pada hari ini, zina itu lebih mudah berbanding jalan yang halal?
Tiadalah jawapan lain, kecuali kembali kepada IMAN.
Iman yang membimbing kita membuat pilihan dalam kehidupan.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya itulah hikmah mengapa kita diberi peringatan tentang TAQWA, saban minggu di Mimbar Jumaat ini.
TAQWA seperti yang dijelaskan dalam perbualan Ubai bin Kaab bersama Umar al-Khattab radhiyallahu ‘anhuma.

Umar al-Khattab telah bertanya kepada Ubai bin Kaab radhiyallahu ‘anhuma tentang TAQWA. Lalu Ubai menjawab dengan menyoal: Apakah engkau pernah menempuh jalan yang banyak duri? Umar menjawab: Sudah tentu. Lalu Ubai bertanya lagi: Justeru apakah yang engkau lakukan? Umar membalas: Aku akan melangkah dengan teliti dan berhati-hati. Kata Ubai: Maka demikian itulah maksud TAQWA.
Sesungguhnya hidup kita ini adalah sebuah perjalanan. Di kiri dan kanannya ada banyak duri, banyak cabaran. Ada duri yang mengundang luka, yang berkehendakkan kita supaya berada di tahap sedar yang tinggi, serta sentiasa mampu mengawal diri.
Sedarlah!
Kawallah!
Hidup ini menuntut kita membuat pilihan.
Pilihlah jalan yang memberi bahagia Dunia dan Akhirat.
Jauhilah pilihan yang buta, mencari sedap yang seketika, tetapi derita selama-lamanya.
Jangan banyak memberi alasan.
Semakin banyak memberi alasan, semakin hilanglah daripada hidupmu, rahmat dan bantuan Tuhan.

SAIFULISLAM

Semua pihak bertanggungjawab – Raudhatus Sakinah

TM Lim

KUALA LUMPUR, 23 Mac – Pendedahan yang dibuat oleh Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Alwi Ibrahim mengenai jumlah anak luar nikah di Malaysia baru-baru ini benar-benar menakutkan. Ia membuktikan gejala sosial yang berlaku di negara ini semakin membarah. Ia juga memberi isyarat bahawa setiap orang perlu berganding bahu menganjurkan kebaikan serta mencegah kemungkaran (amar makruf nahi mungkar) dalam masyarakat.
Alwi, sebagaimana yang disiarkan dalam sebuah portal berita media perdana Ahad lalu berkata, seramai 17,303 anak luar nikah Melayu atau tidak sah taraf didaftarkan di seluruh negara sepanjang tahun 2009.
Pengarah Raudhatus Sakinah (RS), Puan Rosmawati Zainal menjelaskan, tanggungjawab membimbing dan menegur remaja yang terjebak dengan gejala sosial ini terpikul ke atas setiap orang Islam yang beriman. Hal ini kerana jumlah remaja terlalu ramai. Dianggarkan daripada seluruh penduduk dunia, 25% terdiri daripada remaja berusia 10-19 tahun.
“Bayangkan angka 17,303 itu cuma dalam masa setahun, dan yang lebih menyedihkan berbangsa Melayu. Angka ini terlalu besar dan menakutkan. Kami di Raudhatus Sakinah sejak 1998 hingga 2010 baru dapat membimbing 447 orang remaja perempuan, bermakna banyak lagi kerja kita. Kerja ini pula mesti dilakukan oleh semua pihak. Menghidupkan rumah perlindungan hanya dapat membantu mangsa (perempuan). Bagaimana halnya dengan pasangan mereka (lelaki) dan remaja lain yang lebih ramai di luar sana?” soalnya.
Katanya lagi, RS mahu melangkah jauh ke hadapan. Kempen ‘Anda Bijak Jauhi Zina’ yang sedang dijalankan sekarang berusaha menyedarkan remaja tentang bahaya zina, penyakit kelamin dan bagaimana mengurus cinta dengan betul.
“Cinta itu bukan setakat antara sesama manusia. Mereka lupa yang pertama sekali mestilah cinta kepada yang mencipta cinta itu sendiri iaitu Allah.”
Visi RS ialah ‘ke arah gejala sosial sifar menjelang 2020′. Dengan perkembangan terkini ini, tidakkah nampak agak mustahil untuk mencapai visi ini? Tidakkah ia terlalu ‘ambitious‘?
“Memang, kalau kita tengok secara zahir memang mustahil. Tapi apa-apa pun kalau Allah menghendaki, ia akan berlaku. Cuma yang penting bagi kita berusaha dan terus berusaha. Sebab itulah pentingnya penglibatan semua orang, peranan masyarakat dan sokongan keluarga. Bagi pihak keluarga, jangan rasakan apa yang ada dalam rumah mereka sahaja hak milik mereka. Mereka kena tengok di luar rumah juga. Di sana, masih ada ramai anak lain yang sangat memerlukan perhatian, nasihat dan teguran.
“Bagi pihak masyarakat pula, jangan letakkan tugas amar makruf nahi mungkar ini kepada orang atau jabatan tertentu sahaja. Kita semua hamba Allah, tapi kalau tak menjadi khalifah (yang menguruskan dunia mengikut peraturan) Allah, maka tak berjalanlah kebaikan ini. Dalam al-Quran pun Allah sudah jelaskan, orang-orang yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran inilah golongan yang beruntung,” jelas Rosmawati.
Menurutnya lagi, zaman sekarang bukan zaman bercakap sahaja. Pendakwah mesti ‘walk the talk‘, menasihati dan menunjukkan teladan. Beliau memetik kisah Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam yang tidak berhenti memberi makan seorang buta di hujung kampung walaupun orang itu menghina Rasullah setiap hari. Adakah tindakan itu menjatuhkan imej baginda? Tidak. Begitulah peranan yang mesti dimainkan oleh masyarakat walaupun hari ini. Walaupun mereka berpangkat dan berimej hebat, tiada celanya mereka menegur remaja yang hidup berpeleseran bagaikan tiada matlamat hidup.
“Saya yakin jika keseluruhan masyarakat prihatin dalam membina dan membimbing remaja, gejala sosial akan berkurangan, dan sasaran sifar pada tahun 2020 itu tidak lagi mustahil. Kita kena yakin bahawa bagi Allah, ‘kun fayakun’. Yang penting tugas ini kena bermula. Selagi ia tidak dimulakan, kita tak nampak macam mana nak ubah dunia,” katanya sambil menguntum senyum.
Gejala sosial ini ibarat api yang menyala antara dua pihak. Satu pihak menyiram air untuk memadamkannya, tetapi satu pihak lagi mencurah minyak yang memarakkannya, malahan yang mencurah minyak itu lebih banyak. Tidakkah usaha RS ini dikira sia-sia dan membuang masa?
“Sesetengah orang mungkin menganggap ia kerja sia-sia, tetapi ambillah semangat daripada seekor burung yang terbang berulang-alik membawa setitik air untuk cuba memadamkan api yang membakar Nabi Ibrahim alaihissalam. Akhirnya nanti kita semua akan ditanya oleh Allah apakah yang telah kita lakukan untuk membendung gejala sosial ini, dan kita terpaksa menjawabnya.”
RS tidak bermaksud untuk terus kekal di persada negara. Cita-citanya ialah menjelang 2020, RS sudah tidak diperlukan lagi (jika visi sifar gejala sosial dicapai). Malah kata Rosmawati, kalau boleh, rumah-rumah perlindungan ini tidak perlu ada lagi pada masa hadapan, tetapi buat masa ini ia terpaksa diwujudkan kerana terlalu ramai yang menjadi mangsa (kepada keadaan).
“Jadi, kalau tak mahu rumah-rumah perlindungan ini tumbuh macam cendawan, kita kena proaktif, membantu menyedarkan remaja agar kembali kepada Islam sebagai cara hidup.”
Sehubungan dengan hal itu, RS akan mengadakan ‘Malam Amal Raudhatus Sakinah’ (MARS) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 2 Mei 2010 ini. Dengan tema ‘Lelaki Pelindung Wanita’, program ini mahu menggembar-gemburkan bahawa golongan lelaki sepatutnya membimbing wanita yang tersasar, bukan mengambil kesempatan. Lelaki juga menjadi contih terbaik kepada wanita sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah sallallahu alaihi wasallam. Persembahan akan dijayakan oleh kumpulan Demascus, Xifu, Algebra dan anak-anak remaja, manakala tetamu undangn khas ialah Penaung RS, YTM Tengku Besar Terenganu, bonda SPB Yang Di-Pertuan Agung. RS mengajak syarikat, badan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan individu tampil membantu RS dalam usaha pencegahan gejala sosial ini bersama-sama.
(Raudhatus Sakinah merupakan sebuah Pusat Perlindungan Remaja Puteri yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat dan ditubuhkan pada tahun 1998. Sehingga kini, sebanyak empat buah pusat perlindungan remaja RS yang sedang beroperasi iaitu di Selangor, Kelantan, Pulau Pinang dan Johor.)
Sumber : Malaysia Harmoni